
Pelakon, Sharnaaz Ahmad menyifatkan perayaan Aidilfitri tahun ini amat suram selepas pemergian ayahanda tercintanya, Allahyarham Datuk Bazir Ahmad Nazir Ahmad yang menghembuskan nafas terakhir pada November tahun lalu.
Tak ada hati sambut raya
View this post on Instagram
Ketika ditemui , Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad berkata, tahun pertama beraya tanpa arwah bapanya juga menyebabkan dirinya tidak mempunyai hati untuk meraikan sambutan tersebut.
Saya memang tak raya tahun ini dan setiap hari saya jalani tanpa fikir langsung pasal Ramadan ataupun raya.
Raya tahun ini memang tak ada rasa langsung.
Ini adalah raya paling tawar dalam hidup. Bangun pagi pun dalam keadaan ‘blur’. Pergi sembahyang dan makan. Kalau boleh saya nak habiskan hari raya pertama itu segera tapi masa rasa lambat pula nak habis.
Bila dah habis raya pertama, barulah rasa lega.
Sharnaaz berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem ‘Blood Brothers Bara Naga’ bertempat di GSC IOI City Mall, Putrajaya pada Isnin.
Bukan itu sahaja, Sharnaaz turut memakai jam tangan peninggalan Allahyarham ketika menghadiri majlis tayangan filem lakonannya itu sebagai tanda rindu dan ingatan terhadap arwah bapanya itu.
Jiwa terasa kosong dengar takbir raya

Ketika ditanya bagaimanakah perasaannya ketika mendengar alunan takbir raya, pelakon filem ‘Polis Evo 3’ ini meluahkan rasa syukur kerana mampu untuk mengawal tangisan daripada mengalir.
Perasaan saya membeku, jiwa saya kosong dan tak ada rasa apapun. Alhamdulillah, tiada setitis pun air mata sejak hari raya pertama lagi.
Kali terakhir saya menangis adalah ketika 40 hari selepas arwah pergi. Masa itu saya bersama Amelia Henderson kerana kami ada penggambaran di Johor.
Perasaan sedih itu datang secara tiba-tiba. Badan saya rasa sejuk dan memang tidak mampu kawal perasaan sedih. Hari itu adalah hari paling teruk buat saya.
Pada 27 November tahun lalu, ayah kepada Sharnaaz Ahmad telah menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada jam 1.40 pagi Rabu.
Berita sedih itu dikongsikan sendiri Sharnaaz menerusi hantaran di Instagram (IG).





