Media sosial dan sembang kedai kopi sekali lagi bingit dengan isu penternakan babi di Selangor.
Slogan "Kesetiaan kepada Raja dan Negara" kembali dibahaskan. Perbahasan itu–tentang lima prinsip yang kita hafal sejak sekolah rendah–itu sendiri sebenarnya sihat. Namun, ada dalam kalangan kita yang lupa terhadap bahagian pertama Rukun Negara.
Berapa ramai antara kita, termasuk menteri dan ahli politik yang bertempik di parlimen, sedar bahawa Rukun Negara yang diisytiharkan pada 31 Ogos 1970 sebenarnya bermula dengan lima cita-cita besar:
-
Mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat;
-
Memelihara satu cara hidup demokratik;
-
Mencipta masyarakat adil yang kemakmuran negara dinikmati bersama secara adil dan saksama;
-
Menjamin cara hidup yang liberal terhadap tradisi-tradisi kebudayaan yang kaya dan berbagai-bagai corak; dan
-
Membina masyarakat progresif yang menggunakan sains dan teknologi moden.
Lima cita-cita inilah "destinasi" asal pembentukan negara, manakala lima prinsip yang kita hafal (kepercayaan kepada tuhan sehingga kesopanan dan kesusilaan) adalah "kompas atau jalannya".
Apabila kita mengabaikan bahagian pertama, kita sebenarnya sedang memandu tanpa tahu arah tuju. Perbahasan awam berkaitan isu penternakan babi di Selangor adalah contoh klasik tentang fenomena ini.
Penggunaan perkataan "liberal" dalam dokumen Rukun Negara pada tahun 1970 membuktikan para pengasas negara—termasuk Tun Abdul Razak dan Ghazali Shafie—berfikiran jauh. Liberal ini bermaksud keterbukaan dan toleransi yang luas terhadap tradisi kebudayaan pelbagai corak.

Isu pemakanan dan penternakan adalah sebahagian daripada cara hidup komuniti bukan Islam. Bagaimana kita boleh bertindak bagi mengekalkan kepelbagaian corak budaya tersebut?
Bagaimanapun, ada pihak berhujah bahawa bahagian pertama itu hanyalah mukadimah (preamble) atau sekadar hasrat normatif. Bagi mereka, yang menjadi teras undang-undang dan jati diri warganegara adalah bahagian kedua (lima prinsip).
Ini adalah pemikiran cherry-picking yang cacat. Pengisytiharan Rukun Negara tidak boleh dibaca secara berasingan. Dokumen teks rasmi Rukun Negara bermula dengan perkataan: "Bahawasanya Negara Kita, Malaysia mendokong cita-cita hendak..." baru diikuti dengan "Maka kami, rakyat Malaysia, berikrar...".
Bagaimana anda boleh berikrar setia kepada negara (prinsip kedua) sekiranya anda secara aktif mensabotaj cita-cita negara itu sendiri (perpaduan, keadilan, keterbukaan)?
Prinsip dan visi
Jika kita terus-menerus melupakan bahagian pertama, Malaysia akan terus terperanangkap dalam politik toksik dan zero-sum game—aku menang, kau kalah. Mengapa bahagian pertama ini kritikal untuk masa depan kita?
Ia menjawab soalan "mengapa" lima prinsip memberikan kita peraturan. Tetapi lima cita-cita memberikan kita visi. Rakyat yang hanya tahu peraturan tanpa tahu visi akan menjadi rakyat yang rigid, prejudis, dan mudah dimanipulasi.
Meluruskan salah faham terhadap istilah: Perkataan seperti "demokratik", "adil", "liberal", dan "progresif" sering dituduh sebagai agenda Barat yang songsang oleh sesetengah pihak hari ini. Padahal, istilah-istilah ini adalah pilar rasmi negara yang dipersetujui oleh Majlis Perundingan Negara (Mapen) pasca-13 Mei 1969. Ia adalah acuan Malaysia, bukan acuan Barat.
Tanpa komitmen terhadap masyarakat yang adil dan cara hidup yang liberal (toleran), sistem demokrasi kita akan bertukar menjadi tyranny of the majority (kezaliman majoriti). Kumpulan terbesar akan merasakan mereka boleh menindas hak kumpulan kecil sesuka hati, sekali gus mengabaikan kontrak sosial yang dimeterai.
Kes penternakan babi di Selangor hanyalah satu daripada beratus-ratus simptom penyakit "rabun warna" masyarakat kita terhadap sejarah dan falsafah negara. Hari ini isu babi, esok lusa mungkin isu konsert, tulisan khat, atau peruntukan sekolah vernakular.
Kita perlu berhenti daripada sekadar menggunakan Rukun Negara sekadar sebagai teks hafalan di perhimpunan sekolah atau hiasan di kulit buku latihan.
Rukun Negara adalah satu pakej lengkap. Komitmen kita kepada raja dan negara, kepada keluhuran perlembagaan, dan kedaulatan undang-undang mestilah dihalakan untuk mencapai perpaduan, demokrasi, keadilan ekonomi, toleransi budaya, dan kemajuan sains.
Jika kita terus melupakan bahagian pertama, kita sebenarnya sedang meruntuhkan rumah yang kita bina, batu demi batu, sambil memegang bendera dan menjerit bahawa kita sedang mempertahankannya.
Sungguh ironis. Sungguh tragis.
Apa pun syabas kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kerana mengingatkan kita semua terhadap kepentingan Rukun Negara. Daulat Tuanku!
Ya, bukan saja ahli politik, malah semua rakyat Malaysia patut menjunjung saranan baginda–membaca kembali dan menghayati Rukun Negara.
MUHAMMAD KARIM MD ISA adalah pekerja separuh masa yang banyak menghabiskan masa sebagai pemandu e-hailing di Lembah Klang.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





