28.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, May 21, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Raja berpelembagaan lengkapi demokrasi berparlimen

    Shopee Sale

    Prinsip Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen adalah sistem yang saling melengkapi dalam memastikan kestabilan pemerintahan, keseimbangan kuasa serta kepentingan rakyat terus terpelihara di Malaysia.

    Ahli Dewan Diraja Selangor Datuk Salehuddin Saidin berkata sistem yang diamalkan Malaysia itu membuktikan institusi raja bukan sekadar simbol atau formaliti sebaliknya mempunyai fungsi penting dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara.

    Beliau berkata Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan bahawa kuasa eksekutif Persekutuan terletak pada Yang di-Pertuan Agong sebagai ketua utama negara sebelum kuasa itu dijalankan oleh Jemaah Menteri dan Perdana Menteri mengikut peruntukan Perkara 39 Perlembagaan Persekutuan.

    “Ramai melihat perananan raja hanya bersifat formaliti, sedangkan Perlembagaan jelas menunjukkan institusi raja mempunyai tanggungjawab besar dalam memastikan perjalanan pentadbiran negara berjalan dengan baik dan lancar,” katanya kepada Bernama.

    Salehuddin berkata konsep Demokrasi Berparlimen memberi ruang kepada rakyat memilih pemimpin melalui proses demokrasi manakala institusi raja pula bertindak sebagai badan semak dan imbang terhadap tindakan kerajaan.

    Beliau berkata perananan raja tidak terhad kepada pelantikan Perdana Menteri, Menteri Besar atau pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri semata-mata sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab menjaga perpaduan rakyat serta keharmonian negara.

    “Dalam perkara yang melibatkan kepentingan rakyat, perpaduan masyarakat dan kestabilan negara, suara serta nasihat Raja amat penting supaya kerajaan sentiasa mengambil kira kebajikan rakyat,” katanya.

    Salehuddin berkata walaupun Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat seperti diperuntukkan dalam Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan, institusi raja tetap mempunyai tanggungjawab untuk menegur dan menasihati kerajaan demi kepentingan rakyat.

    Beliau berkata dalam situasi tertentu seperti ketegangan kaum atau isu yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat, institusi raja memainkan perananan penting dalam menenangkan keadaan dan memastikan kerajaan mengambil langkah sewajarnya.

    “Raja bukan melihat kepentingan satu kaum sahaja tetapi memayungi seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang dan memastikan keamanan negara terus terpelihara,” katanya.

    MENARIK:  Ahli parlimen gesa tindakan ke atas Majlis Profesor Negara

    Salehuddin berkata kepentingan institusi raja juga dapat dilihat menerusi Perkara 159(5) Perlembagaan Persekutuan yang mensyaratkan perkenan Majlis Raja-Raja bagi sebarang pindaan terhadap beberapa perkara penting dalam Perlembagaan.

    Beliau berkata kewujudan peruntukan itu membuktikan institusi raja mempunyai perananan besar dalam mempertahankan asas utama negara dan bukan sekadar bertindak sebagai “rubber stamp”.

    Mengulas situasi politik Malaysia, Salehuddin berkata perananan Yang di-Pertuan Agong terserlah ketika negara berdepan situasi Parlimen tergantung selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

    Beliau berkata kebijaksanaan Seri Paduka Baginda menasihatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan berjaya memastikan kestabilan politik negara dan kelangsungan pentadbiran kerajaan.

    Salehuddin turut menegaskan bahawa rakyat perlu memahami sejarah pembentukan Perlembagaan Persekutuan termasuk berkaitan kedudukan institusi raja, bahasa Melayu, agama Islam dan hak istimewa Melayu serta Bumiputera yang terbentuk hasil persefahaman pelbagai kaum sebelum kemerdekaan.

    Beliau berkata kefahaman terhadap sejarah dan asas pembentukan negara penting bagi memastikan rakyat terus menghormati kedaulatan undang-undang, institusi raja dan semangat perpaduan nasional.

    Dalam pada itu, Salehuddin mencadangkan supaya pendidikan berkaitan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip Rukun Negara diperkasakan di sekolah bagi meningkatkan kefahaman generasi muda terhadap sejarah pembentukan negara serta sistem pemerintahan yang diamalkan Malaysia.

    Selain itu, beliau mencadangkan supaya penjawat awam baharu diberikan latihan dan pendedahan khusus berkaitan Perlembagaan Persekutuan, sejarah negara, prinsip Rukun Negara serta perananan institusi raja sebelum memulakan perkhidmatan dalam sektor kerajaan.

    Salehuddin berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap penjawat awam memahami tanggungjawab mereka dalam mempertahankan sistem pemerintahan negara di samping memupuk semangat cintakan negara serta menghormati institusi raja sebagai payung kepada rakyat dan negara.

    “Penjawat awam adalah sebahagian daripada jentera pentadbiran kerajaan... jadi, mereka perlu memahami asas pembentukan negara, menghormati kedaulatan undang-undang dan menghayati sistem Raja Berperlembagaan serta Demokrasi Berparlimen yang menjadi teras pentadbiran negara,” katanya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah