Sebanyak 59 laporan polis direkodkan seluruh negara terhadap bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua, susulan hantaran di akaun Facebook miliknya yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan berkenaan kes tersebut akan dilaksanakan oleh polis Selangor dan Pua akan dipanggil dalam masa terdekat.
“Sehingga pagi tadi, saya telah ditaklimatkan sebanyak 59 laporan polis telah dibuat seluruh negara dan siasatan dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Selangor,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Mes Pegawai Kanan Ibu Pejabat Kontinjen Selangor, hari ini.
Semalam media melaporkan polis membuka kertas siasatan terhadap Pua susulan hantaran di akaun Facebook miliknya, yang didakwa menyentuh isu sensitif melibatkan institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan, iaitu kenyataan yang mendatangkan khianat awam serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin DAP itu dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa Malaysia mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan yang mana kuasa raja secara amnya terhad kepada aspek tertentu sahaja.
Kenyataan itu dipercayai dikeluarkan susulan titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyarankan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor Ronnie Liu datang seminggu sekali ke Dataran Selangor, untuk memahami serta menghayati makna Rukun Negara.





