Konflik antara anak dan ibu bapa yang dianggap berlaku bukan faktor langsung yang membawa kepada kematian pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir, Mahkamah Koroner diberitahu hari ini.
Pakar perunding psikiatri forensik Hospital Mesra Bukit Padang Dr Chua Sze Hung, 43, berkata konflik itu sebaliknya diklasifikasikan sebagai faktor pendorong atau tidak langsung dalam penilaian psikiatri berhubung kematian mangsa.
"Saya ingin menegaskan bahawa konflik yang dianggap berlaku antara anak dan ibu bapa bukanlah faktor langsung dalam kes ini. Pada pandangan saya, faktor langsung ialah soal siasat yang memberi tekanan dan pengasingan yang berlaku pada waktu pagi dan malam insiden," katanya.
Saksi ke-67 itu berkata demikian ketika menjawab soalan pegawai pengendali inkues Timbalan Pendakwa Raya Dacia Jane Romanus di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.
Mengulas lanjut mengenai penilaian terhadap keadaan mental dalaman mangsa, Dr Chua berkata interaksi lisan semata-mata adalah petunjuk yang kurang tepat kerana golongan remaja cenderung menyembunyikan tekanan yang dialami demi menyesuaikan diri dan sering menampilkan "diri yang palsu" kepada orang sekeliling.

“Sebaliknya, diari adalah gambaran diri yang sebenar dan tulen, bebas daripada tekanan serta penilaian sosial, psikologi dan interpersonal... Ia mencerminkan keadaan diri seseorang yang sebenar-benarnya," katanya.
Ketika disoal balas oleh peguam Datuk Rizwandean M Borhan, yang mewakili ibu Zara Qairina, Dr Chua bersetuju bahawa ini adalah kali pertama beliau mendengar 35 rakaman perbualan antara antara mangsa dan ibunya dari 6 Mac hingga 10 Julai tahun lepas.
Ditanya sama ada klip audio itu adalah data utama yang berharga untuk menilai hubungan mereka, beliau berkata interaksi lisan kurang signifikan berbanding diari mangsa.
Beliau berkata rakaman itu adalah komunikasi lisan yang boleh dipengaruhi oleh “diri palsu” dan pelbagai mekanisme pertahanan psikologi namun mengakui bahawa terdapat kemungkinan wujud momen kasih sayang yang tulen dan konflik antara anak dengan ibu bapa lazimnya berepisod.
Rizwandean juga menyoal sama ada Dr Chua dan pasukannya enggan meneliti video, gambar dan rakaman audio yang ditawarkan oleh ibu mangsa serta peguamnya ketika sesi temu bual berlangsung.
Dr Chua berkata beliau dan pasukannya tidak menolak bahan-bahan berkenaan namun memutuskan bahawa maklumat sedia ada sudah mencukupi terutama dengan kewujudan diari mangsa yang dianggap lebih mewakili keadaan sebenar dan bebas daripada pengaruh “diri palsu”.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.
Pada 8 Ogos 2025, Jabatan Peguam Negara (AGC) mengeluarkan arahan agar kubur pelajar itu digali semula dan mayatnya dibezah siasat sekali lagi.
Pada 13 Ogos tahun sama, AGC mengarahkan agar inkues dijalankan selepas meneliti laporan siasatan polis.
Prosiding inkues bersambung esok.





