Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) mempertahankan keputusan mereka mesyaratkan Orang Asli mendapat kelulusan bertulis daripada agensi itu sebelum boleh menerima kedatangan pelawat di perkampungan masing-masing.
Dalam kenyataannya hari ini, Jakoa menegaskan, prosedur itu bukan bertujuan mewujudkan halangan birokrasi sebaliknya memastikan aspek tadbir urus dan perlindungan komuniti dilaksanakan dengan baik.
Menurut Jakoa prosidur tersebut penting atas tiga faktor iaitu akauntabiliti dan pengurusan risiko melalui pemantauan rasmi bagi menjamin keselamatan pelawat sekali gus komuniti; melindungi ekosistem kesihatan dan imuniti komuniti pedalaman daripada penularan penyakit; serta mengelakkan kecurian hasil hutan.
Kata jabatan itu, peraturan berkenaan penting bagi memastikan integriti data dapat dipelihara, selain melindungi masyarakat Orang Asli sendiri daripada eksploitasi maklumat dan manipulasi budaya demi kepentingan pihak tertentu.
“Dakwaan bahawa Jakoa menyekat kemasukan pihak luar ke perkampungan Orang Asli tanpa asas yang munasabah adalah tidak benar.
“Malah, rekod rasmi menunjukkan majoriti permohonan yang diterima telah diberikan kelulusan.
“Pada 2025, sebanyak 395 daripada 415 permohonan diluluskan, manakala hanya 20 ditolak kerana tidak mendapat persetujuan tok batin atau penghulu.
“Bagi tahu ini pula, sebanyak 255 daripada 259 permohonan diluluskan, melibatkan 183 program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dan 72 lawatan akademik,” katanya.
Mengulas lanjut Jakoa menegaskan dalam keadaan tertentu permohonan mungkin tidak dapat dipertimbangkan jika terdapat faktor yang berpotensi menjejaskan kesejahteraan komuniti.
Hanya kuat kuasa peraturan
Ia termasuk unsur eksploitasi kandungan, penyebaran fahaman tidak sesuai atau tindakan yang boleh mengganggu keharmonian institusi kepimpinan adat setempat.
“Jakao percaya pembangunan dan kesejahteraan masyarakat Orang Asli akan lebih berkesan dicapai melalui kerjasama profesional, saling menghormati dan pematuhan terhadap tatacara sedia ada selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Akta Orang Asli 1954.
“Jabatan ini kekal komited untuk mempermudah urusan mana-mana pihak yang
ingin menyumbang dan bekerjasama demi manfaat komuniti Orang Asli secara bertanggungjawab dan beretika,” katanya.
Kenyataan Jakoa itu dibuat selepas peguam dan aktivis, Siti Kasim, mendakwa kerajaan cuba mengawal akses Orang Asli kepada maklumat dengan mengawal pintu masuk ke kampung mereka di Semenanjung Malaysia.

Siti mengecam Jakoa kerana mengeluarkan notis kepada komuniti itu yang mengarahkan mereka tidak menerima sebarang pelawat tanpa terlebih dahulu mendapatkan kebenaran daripada agensi tersebut.
Siti turut berkongsi kejadian minggu lalu apabila dia bersama sekumpulan aktivis Orang Asli dihalang daripada memasuki sebuah kampung di Lipis, Pahang oleh jabatan perhutanan atas alasan tidak mempunyai permit memasuki hutan simpan.
Pengarah Jabatan Perhutanan Pahang, Zainuddin Jamaluddin, bagaimanapun menafikan dakwaan berkenaan dan menegaskan pegawainya hanya menjalankan penguatkuasaan undang-undang.
Insiden itu turut menerima kritikan daripada Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM) serta gabungan pertubuhan masyarakat sivil.
Dalam satu kenyataan pada Selasa, kumpulan berkenaan menyifatkan sekatan tersebut merupakan penghinaan terhadap komuniti Orang Asli dan pemimpin mereka, selain menggesa pihak berkuasa menghormati hak masyarakat tersebut.
“Perlu ditegaskan bahawa tok batin dan pemimpin kampung mempunyai hak mutlak untuk membuat keputusan, menganjurkan mesyuarat, program dan mengurus hal ehwal dalam kawasan adat mereka.
“Mereka tidak perlu mendapatkan kebenaran atau kelulusan daripada jabatan perhutanan, Jakoa mahupun polis bagi urusan dalaman komuniti mereka,” katanya.





