Kalau dulu koperasi sering dianggap sekadar pemain kecil dalam dunia perniagaan, kini persepsi itu semakin berubah.
Penyertaan dalam GULFOOD Dubai 2026 menjadi bukti jelas bahawa koperasi Malaysia sudah bersedia untuk melangkah lebih jauh — bukan sahaja di peringkat tempatan, malah di pentas antarabangsa.
Menerusi perkongsian daripada KOPETRO dan KOWALIT, jelas bahawa penyertaan ini bukan sekadar hadir memeriahkan acara, tetapi satu langkah strategik untuk membuka laluan ke pasaran global, khususnya di Timur Tengah yang sebelum ini belum banyak diterokai oleh koperasi tempatan.
Platform global, peluang pertama di Timur Tengah

Bagi KOWALIT, pengalaman pertama menembusi pasaran Timur Tengah ini dilihat sebagai peluang besar.
Mereka mengakui bahawa platform seperti GULFOOD memberi ruang untuk memperkenalkan produk kepada pembeli antarabangsa, di samping memahami kehendak pasaran luar yang sangat berbeza.
Dalam masa sama, ia menjadi medan untuk menguji sama ada produk tempatan benar-benar mampu diterima di peringkat global.
Nak ‘go global’, produk kena capai standard antarabangsa
Namun begitu, kedua-dua koperasi ini sependapat bahawa untuk pergi lebih jauh, produk itu sendiri perlu bersedia terlebih dahulu.
Bukan sekadar sedap atau unik, tetapi perlu mencapai standard antarabangsa dari segi kualiti, keselamatan dan pensijilan. Tanpa semua ini, sukar untuk bersaing dengan jenama global yang sudah lama bertapak.
Dua pendekatan berbeza, satu matlamat yang sama

Menariknya, pendekatan yang dibawa oleh KOPETRO dan KOWALIT sangat berbeza tetapi saling melengkapi. KOPETRO tampil dengan rangkaian pes masakan tradisional Malaysia yang mengekalkan rasa autentik tempatan, tetapi dalam bentuk yang lebih praktikal dan mudah digunakan.
Produk sebegini bukan sahaja sesuai untuk kegunaan di rumah, malah sangat relevan untuk industri F&B di luar negara yang mencari cara mudah menyediakan hidangan bercita rasa Malaysia.
Dalam masa sama, KOWALIT pula membawa produk berasaskan sarang burung walit yang diproses menjadi pelbagai bentuk, daripada makanan hinggalah minuman dan produk penjagaan diri.
Apa yang menarik, satu bahan asas boleh dikembangkan menjadi pelbagai produk bernilai tinggi.
Ini bukan sahaja menunjukkan inovasi, tetapi juga keupayaan untuk memenuhi permintaan pasaran global yang semakin pelbagai.
Cabaran besar: Jenama, bekalan dan logistik
Namun, perjalanan ke pasaran antarabangsa bukanlah sesuatu yang mudah. Antara cabaran terbesar adalah dari segi jenama, kerana produk tempatan masih belum dikenali berbanding jenama antarabangsa.
Selain itu, isu logistik dan keupayaan membekalkan produk dalam kuantiti besar juga menjadi faktor penting.
Dalam pasaran global, kepercayaan bukan hanya dibina melalui kualiti, tetapi juga konsistensi bekalan.
Jika tidak mampu memenuhi permintaan, risiko kehilangan peluang adalah sangat tinggi. Justeru, koperasi perlu memastikan kapasiti pengeluaran benar-benar bersedia sebelum membuat sebarang komitmen.
SKM sebagai mentor, bantu koperasi ‘naik level’

Di sebalik semua cabaran ini, sokongan daripada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memainkan peranan yang sangat penting.
SKM dilihat sebagai mentor utama yang membimbing koperasi, bukan sahaja dari segi penyertaan dalam platform antarabangsa, tetapi juga dalam aspek penambahbaikan produk, pembungkusan dan strategi eksport.
Kelebihan tambahan melalui perjanjian antarabangsa

Selain itu, faktor perjanjian antara negara juga memberi kelebihan kepada koperasi tempatan.
Sebagai contoh, perjanjian ekonomi antara Malaysia dan UAE membantu mengurangkan cukai import dan eksport sekaligus memudahkan kemasukan produk ke pasaran tersebut.
Ini membuka lebih banyak peluang kepada koperasi untuk bersaing dengan pemain antarabangsa.
Bila koperasi berkembang, anggota turut mendapat manfaat
Apa yang lebih menarik, model koperasi itu sendiri memberi manfaat bukan hanya kepada organisasi, tetapi juga kepada anggotanya.
Apabila koperasi berjaya meningkatkan jualan dan menembusi pasaran eksport, keuntungan yang diperoleh akan dikongsi bersama dalam bentuk dividen dan peluang ekonomi yang lebih luas.
Malah, koperasi juga berperanan membantu usahawan kecil dan pembekal tempatan untuk memasarkan produk mereka ke peringkat lebih tinggi.
Cabaran unik: Perlu educate pasaran luar
Walaupun begitu, terdapat juga cabaran unik yang perlu dihadapi, terutamanya dari segi penerimaan produk.
Bagi produk seperti sarang burung walit, tidak semua pasaran memahami atau biasa dengan penggunaannya. Di Timur Tengah, koperasi perlu mengambil masa untuk menerangkan manfaat produk dan membina kepercayaan pengguna.
Koperasi Malaysia dah bersedia tapi perlukan strategi

Melihat kepada perkembangan ini, kedua-dua koperasi percaya bahawa koperasi Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas untuk menjadi pemain global dalam sektor F&B.
Standard sudah ada, produk juga berpotensi, namun apa yang diperlukan adalah strategi pemasaran yang lebih agresif serta kolaborasi dengan pelbagai pihak.
Pesanan buat koperasi lain: Jangan takut bermula
Bagi koperasi lain yang masih ragu-ragu untuk menembusi pasaran antarabangsa, mesej yang diberikan cukup jelas.
Pastikan produk benar-benar mencapai standard yang diperlukan, dapatkan pensijilan yang relevan dan jangan takut untuk mencuba.
Keyakinan pembeli antarabangsa bergantung kepada kualiti dan kredibiliti produk itu sendiri.
5 tahun akan datang: Koperasi Malaysia makin ‘global’
Dalam tempoh lima tahun akan datang, koperasi Malaysia dijangka akan lebih aktif dalam pasaran global, dengan lebih banyak penyertaan dalam ekspo antarabangsa dan peningkatan produk eksport.
Namun, untuk mencapai tahap tersebut, kerjasama dengan agensi seperti MATRADE, MITI, SKM, Kementerian Kesihatan Malaysia dan JAKIM adalah sangat penting bagi memastikan semua keperluan dipenuhi.
Koperasi bukan lagi ‘underdog’

Apa yang ditunjukkan oleh KOPETRO dan KOWALIT adalah satu perubahan besar dalam landskap koperasi negara.
Dari produk lokal ke pasaran antarabangsa, koperasi Malaysia kini bukan lagi ‘underdog’, tetapi sedang perlahan-lahan membina nama di pentas dunia. Dan ini hanyalah satu permulaan!
The post Dari Dapur Lokal ke Pentas Dunia: Koperasi Malaysia Kini ‘All Out’ Tembusi Pasaran Global first appeared on OHBULAN!.





