Seorang ahli parlimen kerajaan hari ini meluahkan secara terbuka bantahan langsung terhadap cadangan rang undang-undang (RUU) kerajaan mengenai pemisahan perananan peguam negara dan pendakwa raya.
Mengulas draf pindaan dengan cadangan daripada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) yang dwipartisan, anggota Parlimen Subang, Wong Chen berkata dia tidak akan menyokong RUU itu melainkan perubahan lanjut dilakukan.
Secara khusus, Wong, yang membacakan kenyataan bersama yang turut disokong oleh enam lagi anggota parlimen PKR, mengetengahkan cadangan Fasal 18, yang menyatakan: "Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan hendaklah memaklumkan kepada Parlimen nama-nama orang yang akan dicalonkan sebagai Pendakwa Raya dan Parlimen boleh memberikan ulasannya kepada suruhanjaya itu, jika ada."

"Tiada persetujuan bersama dalam kalangan kami bertujuh," katanya ketika ditanya sama ada anggota parlimen terbabit akan memutuskan secara kolektif cara untuk mengundi rang undang-undang itu.
"Tujuh-tujuh ahli parlimen telah mengenal pasti masalah teras yang kami hadapi dengan RUU ini.
"Pada ketika (untuk mengundi) itu nanti, kami menyerahkan kepada anggota parlimen berkenaan sevara individu tentang bagaimana mereka akan mengundi atau tidak mengundi (berkecuali)," katanya.
"Bagi saya, saya pasti tidak akan menyokongnya melainkan mereka melakukan perubahan yang diperlukan.
"Kerana memaklumkan parlimen tentang nama-nama dan kemudian meminta komen bukanlah apa yang kami lakukan. Ia bukan tugas ahli parlimen. Saya fikir itu adalah perkara yang buruk, serius," tegasnya.
Wong bagaimanapun mengulangi bahawa semua tujuh anggota parlimen PKR itu akan menyokong RUU pindaan perlembagaan yang berasingan untuk mengehadkan tempoh jawatan perdana menteri kepada dua penggal selama 10 tahun.
"Untuk had dua penggal bagi PM, dia diberi jaminan sokongan penuh. Tiada isu langsung," tambahnya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah tiga lagi anggota parlimen PKR yang menyokong kenyataan tersebut: Hassan Karim (Pasir Gudang), Zahir Hassan (Wangsa Maju) dan S Kesavan (Sungai Siput).
Tiga lagi yang tidak hadir ialah: Rodziah Ismail (Ampang), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), dan Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau).
Sebelum ini, semua tujuh anggota parlimen yang menyokong kenyataan itu dikaitkan dengan sokongan kepada bekas anggota parlimen Pandan Rafizi Ramli, yang kini merupakan pengasas bersama Parti Bersama Malaysia (Bersama) bersama bekas anggota parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
Dalam kenyataan bersama mereka, anggota parlimen berkenaan mencadangkan proses penapisan parlimen dwipartisan bagi calon yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Perundangan, dengan pendengaran terbuka untuk Parlimen menilai kecekapan, pengalaman, kebebasan dan, yang paling penting, integriti mereka bagi pihak rakyat.
Sebagai sebahagian daripada penilaian, anggota parlimen berkenaan berkata calon untuk jawatan pendakwa raya perlu mengemukakan pengisytiharan aset penuh yang diaudit secara bebas semasa pendengaran.

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said, selaku pengerusi jawatankuasa pilihan khas yang menyemak RUU itu, berkata satu jawatankuasa pilihan khas baharu akan wujud untuk Parlimen menilai nama yang dikenal pasti oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman Perundangan sebelum pelantikan oleh Yang di-Pertuan Agong.
Pindaan itu juga akan menghapuskan kuasa eksekutif perdana menteri dan kabinet daripada proses pelantikan.
Hassan yang ditemui selepas sidang media berkenaan berkata dia akan memutuskan cara untuk mengundi selepas perbahasan mengenai draf RUU baharu itu.
"Kami akan menunggu perbahasan. Mungkin daripada sidang media hari ini jawatankuasa pilihan khas akan mempertimbangkan semula, mungkin mereka masih boleh meminda draf tersebut," katanya kepada Malaysiakini.
Mengenai cadangan anggota parlimen berkenaan, ahli parlimen veteran dan peguam itu berhujah bahawa perananan penapisan yang lebih aktif oleh badan perundangan akan memastikan calon terbaik dipertimbangkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

RUU Perlembagaan (Pindaan) (No 2) 2026, yang bertujuan memisahkan secara rasmi perananan peguam negara dan pendakwa raya, mula dibentangkan pada 23 Feb dan kemudiannya dirujuk kepada jawatankuasa pilihan khas untuk semakan lanjut.
RUU itu memerlukan majoriti dua pertiga, atau 148 anggota parlimen, untuk diluluskan.





