PARLIMEN l Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menegaskan bahawa ''Madani Mart' merupakan satu jenama perniagaan peruncitan swasta dan bukannya inisiatif yang digerakkan oleh pihak kerajaan.
Menterinya, Armizan Mohd Ali berkata, kedai runcit berkenaan beroperasi sepenuhnya menggunakan konsep pelesenan (licensing) yang dikendalikan oleh sebuah yayasan.
"Madani Mart adalah jenama perniagaan peruncitan swasta dan bukannya inisiatif kerajaan.
"Madani Mart dioperasikan menggunakan konsep pelesenan. Pemilik dan pelesen jenama Madani Mart adalah Yayasan Madani, manakala operator Madani Mart adalah entiti-entiti perniagaan yang diberikan lesen oleh Yayasan Madani melalui permohonan.
"Sehubungan itu, kementerian tidak menyimpan data rasmi khusus berkaitan status operasi, jumlah cawangan yang beroperasi, jumlah permohonan yang diterima mahupun bilangan usahawan yang terlibat dalam inisiatif tersebut.
“Maklumat terperinci berhubung perkara tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan rekod pihak pengurusan entiti berkenaan," katanya.
Armizan berkata demikian ketika menjawab soalan Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) yang meminta status terkini pelaksanaan Madani Mart termasuk jumlah cawangan, permohonan dan usahawan terlibat.
Katanya, walaupun Madani Mart tidak diuruskan secara langsung oleh KPDN, namun ia masih tertakluk di bawah penguatkuasaan kementerian itu dengan dua perkara yang menyentuh tanggungjawabnya.
"Yayasan Madani telah didaftarkan di bawah Seksyen 45, Akta Syarikat 2016 sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
"Manakala mana-mana pihak atau entiti perniagaan yang menjalankan aktiviti berkaitan barang kawalan berjadual adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] serta perlu mendapatkan Lesen Barang Kawalan Berjadual (CSA) daripada KPDN," katanya.
Sementara itu, Armizan menepis soalan tambahan Rosol mengenai penglibatan Fuziah Salleh selaku pemegang amanah Yayasan Madani yang juga merupakan timbalan menteri KPDN.
"Saya memilih untuk memberi respons bersandarkan kepada bidang kuasa kementerian," kata Armizan ketika menjawab soalan tambahan Rosol yang bertanya bagaimana kementerian untuk memastikan tidak akan ada konflik kepentingan.
Projek kedai runcit harga rahmah Madani Mart berkait rapat dengan Yayasan Madani sebuah yayasan yang ditubuhkan pada Mac 2024.
Selain Fuziah, Kamil Munim (setiausaha politik Menteri Kewangan Anwar Ibrahim), dan Ahmad Farhan Fauzi (setiausaha politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim) adalah tiga pemegang amanah (trustees) bagi yayasan tersebut.
Skim pelesenan Madani Mart memerlukan mana-mana pihak yang ingin membuka cawangan untuk membayar yuran lesen (maksimum RM30,000 sekali bayar) dan royalti kepada yayasan ini.





