Presiden AS Donald Trump berkata pada Isnin menegaskan beliau akan mengambil tindakan yang difikirkan perlu sekiranya Iran gagal mematuhi perjanjian yang telah dimeterai dengan Washington, lapor Reuters.
"Saya akan buat apa yang perlu saya buat jika Iran tidak patuh perjanjiannya dengan Washington, atau jika mereka tidak berkelakuan baik,” kata Trump kepada wartawan.
Trump dan Presiden Iran Masoud Pezeshkian menandatangani perjanjian sementara AS-Iran minggu lalu, lebih tiga bulan selepas AS dan Israel menyerang Iran dan Tehran membalas dengan serangan ke atas Israel dan negara-negara Teluk yang menempatkan pangkalan AS.
Trump juga dipetik sebagai berkata bahawa dana Iran yang dibekukan dan kini dilepaskan semula sepatutnya digunakan secara eksklusif untuk membeli makanan dari AS.
"Semua wang itu akan dikembalikan dalam bentuk pembelian makanan yang sangat mereka perlukan.
“Mereka mempunyai 91 juta penduduk, mereka tidak dapat memberi makan kepada mereka. Jadi, wang yang kami lepaskan itu akan pergi kepada para petani kami," tegas Trump.
Agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim memetik gabenor bank pusat negara itu Abdolnaser Hemmati sebagai berkata bahawa Tehran tidak berada di bawah sebarang kewajipan untuk membeli input pertanian dari AS di bawah memorandum persefahaman semasa.
Hemmati berkata baki dana yang dibekukan itu tidak semestinya digunakan semata-mata untuk barangan keperluan dan boleh dihantar untuk membeli barangan bukan sekatan lain, lapor Tasnim.
Serangan AS dan Israel ke atas Iran serta serangan Israel di Lubnan telah mengorbankan ribuan nyawa dan menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal.
Konflik itu turut menggoncang pasaran global dan menyebabkan harga minyak dunia meningkat.





