‘Gurauan’ terkait kemelut yang membawa terketepinya Mohd Shukri Ramli dari jawatan Menteri Besar Perlis sering dikaitkan dengan hubungan Adun Sanglang itu dengan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Sesetegah pihak mengaitkan kemarahan PAS berhubung pertukaran penyandang jawatan menteri besar itu kerana Mohd Shukri merupakan besan kepada Abdul Hadi.
Malah perkara itu dinyatakan bekas ketua setiausaha sulit kepada Muhyiddin Yassin, Marzuki Mohamad, malam tadi.
Hari ini Setiausaha Politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman, tampil membalas hantaran dibuat Marzuki.
Kata Syahir, tidak benar PAS bertindak tegas terhadap Bersatu berhubung pertukaran penyandang jawatan menteri besar itu kerana kedudukan Mohd Shukri menjadi besan Abdul Hadi.
Menegaskan – secara sinis – dia tidak mahu “mencabar hasil kajian” Marzuki itu, Syahir berkata ada beberapa fakta yang perlu diperjelaskan berhubung krisis tersebut bagi meluruskan keadaan.
“Keputusan mempertahankan mantan Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri) merupakan pendirian PAS yang diputuskan secara kolektif di peringkat parti, bukannya keputusan individu Presiden PAS.
“Dalam perbincangan berkaitan, Presiden PAS mengambil pendirian ‘berkecuali’ dan mengisytiharkan ‘konflik kepentingan’ bagi memastikan proses membuat keputusan berjalan secara telus dan berintegriti,” katanya.
Macam bisul bernanah dicubit
Tambah Syahir, setiap ketetapan yang diambil oleh Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa PAS Pusat adalah “bersandarkan penelitian hukum, fakta, serta maklumat yang sahih dan jelas.”
Semalam Marzuki bersuara berhubung isu kepimpinan kerajaan Perlis kerana Bersatu terus “diungkit” sebagai pengkhianat dalam hubungan mereka dalam gabungan PN.
Dakwa Marzuki, langkah menyalahkan Bersatu itu merupakan taktik pihak tertentu yang enggan melihat pertikaian kedua-dua parti boleh diselesaikan lebih awal sehingga ia menjadi besar.
“Saya tahu ini muslihat. Muslihat untuk tutup kesalahan diri sendiri.
“Isu Perlis ni kecil saja tapi jadi masalah besar sebab ada orang sengaja tak nak selesaikan dari awal,” katanya.

Tambah Marzuki, Mohd Shukri itu sebenarnya sudah ditolak oleh ahli PAS apabila dia gagal memenangi jawatan yang dipertua walaupun di peringkat kawasan, sebelum sekali lagi gagal dalam pengundian jawatankuasa pusat mereka
“Masalah Menteri Besar Perlis kemudiannya merebak ke istana.
“Sepatutnya apabila dah sampai ke peringkat ini, Presiden PAS hantar nama lainlah daripada PAS untuk dilantik sebagai menteri besar. Tukarlah MB tu. Tapi dia tak buat.
“Akhirnya, Istana Perlis menitahkan supaya Tan Sri Muhyiddin menyembah maklum satu nama Adun daripada parti BERSATU untuk dilantik sebagai MB. PAS pun dititah untuk mengemukakan satu nama.
“Duli Yang Maha Mulis Raja Perlis lantik Adun Bersatu jadi MB. Melentinglah PAS. Macam dicubit bisul yang bernanah.
“Apa salah Tan Sri Muhyiddin dan Bersatu? Kesalahannya (ialah) kerana menjunjung titah raja. Yalah, apabila dititah, takkan Tan Sri Muhyiddin nak beritahu raja: “Ampun Tuanku, patik tak boleh junjung titah tuanku. Nanti Haji Hadi ‘murka’.
“Kenapa dia nak ‘murka’? Sebab yang nak ditukar tu besan dia,” dakwa Marzuki.





