PARLIMEN | Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengarahkan semua pegawainya untuk mengemas kini perisytiharan harta masing-masing dalam tempoh sebulan bagi mengukuhkan integriti dalaman agensi berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said (atas) berkata, tindakan itu dimulakan sendiri oleh ketua pesuruhjaya SPRM yang baru, Abdul Halim Aman sebagai teladan kepada warga suruhanjaya tersebut.
"Bagi mengukuhkan integriti dalaman dan ketelusan, ketua pesuruhjaya telah mengarahkan semua pegawai SPRM untuk mengemas kini perisytiharan harta dalam tempoh satu bulan, dengan dia sendiri memulakan proses tersebut sebagai teladan," katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, semalam.
Terdahulu, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok (PH) meminta Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyatakan langkah pembaharuan yang akan dilaksanakan oleh pesuruhjaya baru SPRM serta hasil siasatan berhubung dakwaan "mafia korporat" yang dikaitkan dengan pegawai agensi itu dan ahli perniagaan.
Isu mafia korporat meletus pada Februari 2026 selepas portal antarabangsa, Bloomberg, menerbitkan laporan yang mendakwa wujudnya pakatan "mafia korporat" di Malaysia.
Laporan itu mendakwa terdapat sekumpulan ahli perniagaan menggunakan pengaruh dan bantuan daripada pegawai-pegawai SPRM untuk mengambil alih kawasan beberapa syarikat senaraian awam secara paksa atau tidak sah.
Laporan tersebut secara langsung meletakkan integriti agensi antirasuah itu dan kepimpinannya ketika itu, Azam Baki, bawah sorotan tajam masyarakat.
Pendedahan tersebut mencetuskan tekanan politik yang hebat, terutamanya daripada parti komponen kerajaan seperti DAP serta NGO seperti Bersih yang mendesak agar sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan segera dan menuntut Azam Baki meletak jawatan. Bagaimanapun, Azam dan pihak SPRM sekeras-kerasnya menafikan dakwaan tersebut.
Jemaah menteri pada Mac 2026 mengarahkan agensi penguat kuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan terperinci, sementara sebuah jawatankuasa khas yang dipengerusikan Peguam Negara ditubuhkan.
Memasuki Jun 2026, siasatan PDRM dilaporkan masih berjalan dan ketua polis negara memaklumkan tiada bukti kukuh mengaitkan SPRM setakat ini.
Menurut Azalina, selain perisytiharan harta, SPRM bawah kepimpinan baru turut memperkukuh pematuhan prosedur operasi standard (SOP), sistem semak dan imbang, serta menolak sama sekali sebarang bentuk salah laku dalaman demi memulihkan imej institusi.
"SPRM kini memberi tumpuan khusus melalui pelaksanaan lima prinsip utama iaitu integriti tanpa kompromi, penguatkuasaan yang adil, pencegahan lebih baik daripada hukuman, teknologi dan ketelusan serta membina semula kepercayaan rakyat.
"Dia menegaskan bahawa SPRM akan terus bertindak secara tegas, profesional dan bebas daripada sebarang pengaruh politik atau kepentingan tertentu, dengan berpaksikan Akta SPRM 2009 dan prinsip tiada sesiapa mengatasi undang-undang," katanya.
Sementara itu, menjawab mengenai dakwaan kewujudan "mafia korporat" yang didakwa melibatkan pegawai suruhanjaya itu bersama beberapa ahli perniagaan, Azalina mendedahkan bahawa perkara tersebut kini berada bawah tindakan pihak berkuasa lain.
"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, dakwaan berkenaan mafia korporat merupakan suatu perkara yang berada di dalam siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.





