Ahli perniagaan Albert Tei mengingatkan Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-Kom) yang baru dilantik, Hisyamuddin Ghazali tentang kesediannya berdebat.
Ini selepas Hisyamuddin menyifatkan Tei sebagai salah seorang individu yang didakwa memfitnah kerajaan Madani.
Pagi ini, Tei menghantar surat mengenai perkara itu ke pejabat J-Kom di Putrajaya, yang diterima oleh timbalan pengarah (komunikasi strategik) jabatan itu, Suwadi Guliling.
Dalam surat yang ditujukan kepada Hisyamuddin, ahli perniagaan itu - yang mendedahkan skandal perlombongan Sabah - berkata dia masih belum menerima sebarang maklumat terkini mengenai debat yang dicadangkan sejak 13 Jun.
"Saya tidak menerima sebarang maklum balas daripada Tuan berhubung maklumat pengacara, tarikh, masa dan lokasi untuk menganjurkan majlis debat tersebut.
"Oleh yang demikian, sekali lagi saya mengesahkan sahut cabaran debat yang diutarakan oleh Tuan melalui surat rasmi ini," tambahnya.
Hisyamuddin sebelum ini mencadangkan debat tersebut selepas membuat laporan polis terhadap Tei dan bekas timbalan pengarah komunikasi strategik BN, Eric See-To, yang juga bersetuju untuk bersemuka dengan ketua pengarah J-Kom itu.
"Saya ingin mengingatkan Tuan bahawa terdapat ramai wartawan yang hadir pada hari itu yang menyaksikan serta menerbitkan bagaimana Tuan mengutarakan cabaran debat kepada saya.
"Oleh sebab itu, saya berharap Tuan jangan mengecewakan orang ramai yang sedang menanti-nantikan majlis debat kami,” tambahnya.
Tei berkata jika Hisyamuddin memutuskan untuk tidak meneruskan debat tersebut, dia harus mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka dalam tempoh tujuh hari.
Hisyamuddin sebelum ini dikecam kerana menggunakan istilah "Cina Sesat", yang kemudiannya dijelaskannya bukan perkauman dan hanya merujuk kepada Tei dan See-To.
Berikutan itu, Tei membuat laporan kepada polis dan MCMC mendakwa bahawa kenyataan Hisyamuddin menyentuh isu 3R (bangsa, agama dan raja).
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil juga menasihati Hisyamuddin untuk berhati-hati bagi mengelakkan kenyataannya daripada disalahtafsirkan atau dieksploitasi oleh pesaing politik dan pihak lain yang "sengaja ingin menimbulkan isu".





