Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Mohd Puad Zarkashi membidas kenyataan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Howard Lee Chuan How berhubung isu pembentukan kerajaan perpaduan di negeri Johor.
Mengulas kritikan terhadap pendirian BN yang mahu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan tidak mahu duduk semeja bersama DAP dalam kerajaan negeri, katanya, beberapa perkara penting telah dibincangkan dan diputuskan dalam mesyuarat MKT Umno semalam serta tidak boleh diputar belitkan.
"BN Johor tidak melakukan apa-apa kesalahan apatah lagi pengkhianatan kerana kerajaan BN Johor wujud lebih awal sebelum terbentuknya kerajaan perpaduan.
“Ini kerana PRN Johor berlaku sebelum PRU ke-15," kata Mohd Puad dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Menurutnya, BN Johor mahu meneruskan mandat Bangsa Johor yang telah memberikan kemenangan majoriti dua pertiga kepada gabungan itu dalam pilihan raya negeri sebelum ini.
Dia turut menjelaskan bahawa tidak wujud sebarang terma dalam pembentukan kerajaan perpaduan di peringkat pusat yang mewajibkan ia dilaksanakan di peringkat kerajaan negeri.
"Bertanding solo adalah proses demokrasi yang mesti dihormati. Ia tidak boleh dipaksa sehingga mahu membuli pihak lain.
“Banyak contoh di negara lain, kerajaan negeri tidak sepertinya sama dengan kerajaan pusat walaupun mereka bergabung di pusat," katanya lagi.
Mengulas kenyataan Lee yang mengungkit pertolongan yang diberikan oleh Pakatan Harapan dan DAP ketika PRK Mahkota lalu, Mohd Puad menyifatkan ia sebagai angkuh dan meminta pemimpin DAP itu agar tidak membangkitkan isu bantuan parti dalam pilihan raya lalu.

Katanya, ini memandangkan Umno juga pernah membantu PH dalam beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini.
"Justeru saya minta YB Horward Lee, janganlah koyak. Sebenarnya kamulah yang tidak ikut resmi padi.
“Kamulah yang angkuh. Jangan ungkit DAP bantu di Mahkota. Umno juga bantu PH di Kuala Kubu Bharu, Pulai dan Simpang Jeram," tegasnya.
Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin DAP, termasuk Lee membidas kenyataan menteri besar Johor sementara Onn Hafiz Ghazi yang menyatakan dia rela tidak memegang jawatan daripada duduk semeja dengan parti itu.
Mereka membangkitkan semasa kempen PRK Mahkota pada 2024, Onn Hafiz, antara lain bukan sahaja berkongsi pentas dengan anggota parlimen Kluang Wong Shu Qi, tetapi juga memintanya menterjemah ucapannya ke dalam bahasa Mandarin untuk hadirin Cina tempatan.

DUN Johor yang mempunyai 56 kerusi dibubarkan berkuat kuasa pada 1 Jun lalu selepas Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim memperkenankan pembubarannya.
Dalam PRN sebelum ini - yang diadakan pada 2022 - BN memenangi 40 kerusi dan membolehkan gabungan itu mentadbir negeri.
PH pula berjaya meraih 12 kerusi, manakala PN memenangi tiga kerusi, dengan satu lagi baki kerusi diwakili Muda.





