Seorang guru disiplin cedera dipercayai ditumbuk sekumpulan pelajar dalam satu kejadian yang berlaku di sebuah sekolah menengah di Kuala Kangsar, semalam.
Kejadian pada kira-kira 11.30 pagi itu dipercayai tercetus daripada rasa tidak puas hati selepas rambut pelajar tersebut digunting guru lelaki berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak Datuk Khairuddin Abu Hanipah berkata pihaknya sedang menunggu laporan terperinci daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak berhubung perkara itu.
"Saya belum menerima maklumat secara sahih dan masih menunggu laporan daripada pihak JPN berkaitan kejadian ini. Semakan lanjut sedang dilakukan bagi menentukan kesahihan kejadian berkenaan sebelum sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan.
"Jika benar ia berlaku, ini merupakan satu tindakan yang tidak wajar kerana guru adalah murabbi yang mendidik dan mengasuh anak-anak,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Kecemerlangan Pendidikan Simulasi Haji Gen Alpha peringkat Taman Bimbingan Kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang turut dihadiri Pengarah Kemas Perak Darmawati Dahalan di Masjid Sultan Yusuff Izzudin Shah di Seri Iskandar hari ini.
Dalam perkembangan lain, Khairuddin berkata kira-kira 400 murid daripada 30 Tabika Kemas di daerah Perak Tengah terlibat dengan simulasi haji yang diadakan selama sehari.
Beliau berkata program berkenaan yang dianjurkan dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd, bertujuan memberi pendedahan awal kepada golongan kanak-kanak mengenai asas rukun Islam yang kelima iaitu menunaikan fardu haji.
"Selain itu, ia satu daripada kaedah untuk memberi pengajaran dan didikan kepada anak-anak bahawa kepentingan untuk menurut perintah sebagai orang Islam, perintah rukun Islam iaitu menunaikan fardu haji kalau berkemampuan.
"Ia merupakan aktiviti yang boleh dijadikan sebagai pemulaan kepada anak-anak ini, mungkin untuk menabung, memasang impian dan cita-cita menunaikan fardu haji apabila sampai pada tahap kemampuan mereka nanti,” katanya.





