Kerjaya sebagai pembantu pengantin tidak wujud suatu ketika dahulu. Tetapi kini ia semakin popular, terutamanya bagi membantu pengantin daripada kelam kabut di hari bahagia.
Bagaimanapun, bagi seorang pengantin, niat untuk memudahkan itu akhirnya memberikannya pening kepala yang tak sepadan.
Apatah lagi apabila cincin dan mas kahwinnya hilang pada hari pernikahan.
Nur Alya, 29, berkata dia hanya menyedari kehilangan kedua-dua barangan berkenaan sehari selepas majlis perkahwinannya yang berlangsung pada 1 Januari di sebuah tapak acara di Kuala Lumpur.
Menurutnya, ketika berada di hotel berdekatan pada 2 Januari, dia mendapati cincin perkahwinan serta wang mas kahwin yang diterimanya semasa akad nikah tidak lagi berada dalam simpanannya.
Alya berkata dia kemudiannya menyemak semula rakaman siaran langsung di Instagram yang dibuat ketika majlis berlangsung dan mendakwa menemukan bukti wang mas kahwin itu diambil oleh pembantu pengantin.
"Selepas saya menyemak semula rakaman siaran langsung, saya mendapati dia mengambil sampul putih yang mengandungi wang mas kahwin saya.
"Saya kemudian cuba menghubunginya beberapa kali. Selepas dimaklumkan bahawa suami saya akan membuat laporan polis, wang mas kahwin tersebut dipulangkan semula pada 8 Januari," katanya kepada Malaysiakini.

Dia mengakui menyimpan wang mas kahwin bukan sebahagian daripada skop tugas seorang pembantu pengantin, namun dia ketika itu tidak berasa curiga kerana mempercayai pembantunya.
Bagaimanapun menurut Alya, wanita itu menghubunginya untuk memohon maaf serta berjanji akan membayar ganti rugi selepas dia mendedahkan perkara itu menerusi akaun Threads.
Namun, katanya, sehingga kini dia masih belum menerima sebarang bayaran seperti yang dijanjikan.
Dia turut menasihatkan bakal pengantin supaya lebih berhati-hati ketika mencari pembantu pengantin.
"Nasihat saya kepada bakal pengantin, jangan terlalu mudah meletakkan kepercayaan kepada orang yang baru dikenali. Percayalah kepada individu yang benar-benar rapat dan tidak akan mengambil kesempatan terhadap anda," katanya.
Pada 8 Jun lalu, Alya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan kini menunggu perkembangan lanjut daripada pihak polis.
Dakwa terdesak selepas kerugian RM14,000
Sementara itu, pembantu pengantin berusia 30-an itu ketika dihubungi Malaysiakini mengaku mengambil mas kahwin dan cincin Alya kerana terdesak akibat tekanan kewangan.
Menurutnya, masalah tersebut bermula selepas seorang bekas pelanggannya membuat aduan mengenai perkhidmatannya di Threads sehingga mencetuskan kebimbangan dalam kalangan bakal pengantin lain.
Katanya, susulan hantaran tersebut, ramai pelanggan yang telah membuat tempahan mula meminta wang deposit mereka dipulangkan kerana bimbang dia tidak dapat memenuhi perkhidmatan yang dijanjikan.
"Selepas isu itu tular di media sosial, ramai pelanggan menghubungi saya untuk mendapatkan semula wang deposit mereka.
"Saya cuba memberikan penjelasan, namun ramai yang tetap mahu membatalkan tempahan dan meminta bayaran dipulangkan," katanya.
Menurut wanita itu, dia terpaksa memulangkan wang deposit pelanggan sehingga membayar hampir RM14,000 dalam tempoh singkat.
Katanya, tekanan kewangan akibat tuntutan tersebut menyebabkan dia bertindak di luar pertimbangan yang sewajarnya.
"Saya tidak menafikan perbuatan saya. Apa yang saya ambil, saya mengaku saya mengambilnya.
"Saya sedar tindakan itu salah dan saya berasa sangat malu dengan apa yang telah berlaku.
"Namun pada ketika itu saya berada dalam keadaan terdesak dan berdepan masalah kewangan yang serius," katanya.
Dia mendakwa beberapa akaun bank miliknya telah dibekukan, sekali gus menyukarkannya untuk membuat pembayaran kepada pihak yang menuntut ganti rugi.
"Saya tetap mahu menyelesaikan semua tuntutan yang ada, tetapi keadaan kewangan saya ketika ini agak terhad," katanya.





