Di tengah-tengah perbahasan mengenai sama ada PAS atau Bersatu akan menguasai Perikatan Nasional (PN) selepas terhentinya kerjasama, pengerusinya Ahmad Samsuri Mokhtar tampil menegaskan bahawa gabungan itu bukan milik mana-mana parti komponen secara mutlak.
"Saya menegaskan bahawa PN bukan milik mana-mana parti secara mutlak. PN adalah gabungan politik berperlembagaan yang ditubuhkan atas dasar muafakat parti-parti pengasas.
"PAS juga adalah antara parti pengasas PN dan saya sendiri merupakan salah seorang penandatangan rasmi penubuhan PN," katanya yang juga naib presiden PAS dalam kenyataan, hari ini.
Ia merupakan kenyataan pertama Samsuri selepas PAS membuat keputusan menghentikan kerjasama dengan Bersatu pada Isnin lalu.
Terdahulu Presiden Bersatu Muhyiddin yassin dalam reaksinya terhadap keputusan itu antara lain menegaskan partinya sebagai parti pengasas PN, akan terus kekal dalam PN dan memperkukuhkan teras perjuangannya.
Semalam Malaysiakini melaporkan pemimpin PAS memberi isyarat akan terus menguasai gabungan PN bersama parti komponen lain.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Annuar Musa berkata, satu musyawarah (perbincangan) antara partinya bersama Gerakan dan MIPP sudah diatur dan disegerakan.
Dia turut memaklumkan kedudukan PN akan dibincang bersama komponen PN tanpa melibatkan Bersatu.
Samsuri berkata sebarang tafsiran mengenai status, kedudukan dan hala tuju PN tidak boleh dibuat secara sepihak.
Justeru katanya, ia hendaklah dirujuk kepada perlembagaan PN dan diputuskan melalui saluran rasmi gabungan.
"Keutamaan saya ialah memastikan PN terus diurus secara tertib, berprinsip dan bertanggungjawab demi kepentingan rakyat dan negara," kata ahli Parlimen Kemaman yang juga menteri besar Terengganu.





