Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari mempersoalkan siapa yang sepatutnya meletak jawatan susulan kontroversi pengeluaran surat sokongan kepada kontraktor yang membida projek pembinaan sebuah hospital.
Ahli Parlimen Pasir Mas berkata demikian selepas tular satu lagi klip video, kali ini mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengarahkan bekas setiausaha politiknya, Shamsul Iskandar Mohd Akin, menandatangani beberapa surat sokongan untuk kontraktor terbabit.
Menurutnya, klip video itu memaparkan seorang wanita mendakwa bahawa setiausaha politik Anwar - yang dirujuk sebagai “Shamsul” - menandatangani surat sokongan atas arahan perdana menteri sendiri.
“Ada lagi sambungan video rupanya. Kali ini di pautan https://vt.tiktok.com/ZSfbwMMD4/.
“Ini menyambung isu surat sokongan yang saya bangkitkan di Parlimen dua minggu lepas. Kali ini wanita ini mendakwa bahawa PMX (Perdana Menteri Anwar Ibrahim) sendiri yang arah setiausaha politiknya tanda tangan surat sokongan itu.
“Nah, kalau PMX kata setiausaha politiknya resign (letak jawatan) kerana prinsip dan integriti, kali ini siapa yang kena letak jawatan?" soalnya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.
Dakwaan bercanggah dengan jawapan di Parlimen
Fadhli turut menegaskan bahawa dakwaan dalam video itu bertentangan dengan jawapan Anwar di Parlimen dua minggu lalu, di mana perdana menteri berkata dia telah memberi teguran keras kepada setiausaha politiknya dan pegawai berkenaan meletak jawatan atas dasar integriti.
Shamsul meletakkan jawatan sebagai setiausaha politik Anwar pada 25b Nov - hari yang sama di mana ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mendakwa telah membelanjakan lebih RM600,000 kepada Shamsul.
Ini adalah video ketiga memaparkan wanita berkenaan, yang sebelum ini didedahkan sebagai Sofia Rini.
Dalam video terbaru ini, wanita tersebut yang wajahnya dikaburkan mendakwa surat sokongan itu mengandungi nama enam kontraktor.
Dia mendakwa surat itu ditandatangani sejak 2023–2024 atas arahan “bos”, yang didakwa merujuk kepada perdana menteri.
“Sebenarnya surat itu sudah tular dua kali, ada enam nama kontaktor dalam satu surat.
“(Surat sokongan itu) memang dia (Shamsul) tanda tangan dan untuk makluman masa tahun pertama dan kedua Anwar naik (sebagai perdana menteri), ramai yang minta surat sokongan daripada dia (Anwar). (Tapi) dia tak nak tandatangan dan semua Shamsul yang tandatangan.
“Maksudnya untuk tahun 2023 dan 2024 semua Shamsul yang tandatangan, atas arahan bos (Anwar),” dakwanya.
Wanita itu berkata surat-surat berkenaan dihantar kepada sebuah agensi dan dianggap sebagai prosedur biasa, bukan arahan kepada mana-mana menteri.
Dia turut mendakwa Shamsul sendiri pernah memaklumkan hal itu kepadanya.
Sebelum ini, Anwar mengesahkan dia telah menegur setiausaha politiknya berhubung satu surat sokongan yang tular, sebelum pegawai tersebut meletakkan jawatan.
Perdana menteri juga menegaskan bahawa dia tidak pernah mengarahkan sokongan diberikan kepada mana-mana kontraktor.
Dakwaan berkait skandal perlombongan Sabah
Sebelum ini Malaysiakini melaporkan bahawa ahli perniagaan kontroversi, Albert Tei mendakwa dia membelanjakan RM629,000 ke atas Shamsul selepas dikatakan memberi jaminan wang tersebut boleh diperoleh semula daripada ahli politik Sabah.
Tei mendakwa memberikan wang kepada ahli politik terbabit sebagai balasan untuk mendapatkan lesen cari gali mineral di Sabah.
Dua video kemudian muncul memaparkan Sofia yang didakwa bertindak sebagai proksi Shamsul.
Sofia dalam video itu mendakwa Shamsul menasihati Tei agar merakam secara rahsia perbualannya dengan ahli politik Sabah, dan mendakwa rancangan itu mendapat restu Anwar serta diketahui oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki.
Namun wanita itu kemudian menafikan dia menjadi proksi kepada Shamsul atau Anwar, serta menyifatkan dakwaan tersebut sebagai satu konspirasi.
Dia mengakui pernah bertemu Tei, namun menuduh ahli perniagaan itu membuat kenyataan palsu terhadapnya.
Pertemuan pertama mereka didakwa berlaku pada 8 November 2023 sekitar jam 10 malam di kedai cerut Jesselton Cigaro di Kota Kinabalu.
Dalam video sebelum ini, wanita berkenaan turut mendakwa Shamsul meminta Azam Baki “meringankan” kes Tei.
Katanya, Shamsul bertemu Azam kerana dia turut dikaitkan dengan skandal perlombongan Sabah dan telah dipanggil oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM itu.
Apabila Tei bertanya sama ada Shamsul memaklumkan kepada Azam bahawa rakaman itu adalah “arahan PMX”, wanita tersebut menjawab: “Azam tahu.”
Susulan pendedahan-pendedahan itu, Tei, Shamsul dan Sofia telah ditahan oleh SPRM.





