31.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    PSM bidas pusingan U kerajaan isu skim Lindung 24 Jam Perkeso

    Shopee Sale

    Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyelar keputusan kerajaan menjadikan Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (Lindung 24 Jam) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sebagai sukarela, dan menyifatkan tindakan itu sebagai "pusingan U”.

    Dalam satu kenyataan, Timbalan Pengerusi PSM S Arutchelvan berkata perubahan keputusan itu berlaku tidak sampai sebulan selepas skim tersebut dilancarkan sebagai program wajib.

    “Jika kerajaan mahu melakukan pusingan U dalam skeia kritikal ini daripada mandatori kepada sukarela, maka ia tidak sepatutnya dipanggil Lindung 24 Jam.

    “Nama itu sendiri memberi gambaran perlindungan sepanjang masa. Apa yang kita ada sekarang ialah perlindungan hanya jika anda mampu,” katanya.

    Kritikan itu menyusul selepas jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil mengumumkan semalam bahawa Jemaah Menteri memutuskan untuk menjadikan penyertaan dalam skim itu sebagai sukarela berkuat kuasa serta-merta.

    Mengulas lanjut mengenai keputusan itu hari ini, Menteri Sumber Manusia R Ramanan berkata keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira maklum balas orang ramai.

    R Ramanan

    Katanya, langkah itu membolehkan pekerja Malaysia memutuskan sendiri sama ada mahu mencarum dalam skim berkenaan mengikut keperluan dan keadaan mereka, manakala penyertaan kekal wajib bagi pekerja asing di bawah peruntukan undang-undang sedia ada.

    Ramanan menambah bahawa Perkeso akan mengumumkan butiran mekanisma penyertaan sukarela untuk pekerja tempatan dalam masa terdekat, dan kementerian juga akan mengkaji semula mekanisma pelaksanaan skim itu menjelang akhir tahun.

    “Kajian semula itu akan merangkumi hala tuju dasar, keberkesanan pelaksanaan dan kemampanan kewangan bagi memastikan skema berkenaan kekal berdaya maju dan terus memberi manfaat kepada orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

    ‘Jurang perlindungan’ kekal tidak selesai

    Bagaimanapun, Arutchelvan memberi amaran bahawa tindakan menjadikan skim itu sebagai sukarela berkemungkinan akan mengurangkan penyertaan, terutamanya dalam kalangan pekerja berpendapatan rendah.

    "Antara 2018 dan Ogos 2025, Perkeso menolak 26,865 tuntutan kerana ia diklasifikasikan sebagai kemalangan yang tidak berkaitan dengan pekerjaan. Skim Lindung 24 Jam direka khusus untuk merapatkan jurang perlindungan ini," katanya.

    MENARIK:  Awie enggan rasa selesa, mahu jumpa seramai mungkin pengundi

    Dia menambah bahawa sifat sukarela itu mungkin menyebabkan pekerja berpendapatan rendah memilih untuk tidak menyertainya disebabkan kekangan kewangan.

    Arutchelvan juga mendakwa bahawa semasa pertemuan antara PSM dan Perkeso pada 2 Julai, parti itu dimaklumkan bahawa Jemaah Menteri, dan bukannya Perkeso sendiri, yang berkeras agar pekerja menanggung sepenuhnya kos caruman.

    "Sekarang, nampaknya kompromi pun telah dibuat oleh Jemaah Menteri yang sama, berkemungkinan besar untuk memuaskan hati pihak berkepentingan tertentu," tambahnya.

    Arutchelvan berhujah bahawa caruman mandatori merupakan asas kepada sistem keselamatan sosial Malaysia, lalu menggesa kerajaan membatalkan keputusan menjadikan skim itu sebagai sukarela.

    “Kami menggesa kerajaan membatalkan keputusan ini dan mengembalikan sifat mandatori skim Lindung 24 Jam. Pekerja berhak mendapatkan perlindungan, bukannya ketidakpastian,” katanya.

    Sebelum ini, skim Lindung 24 Jam dilaksanakan pada 1 Jun untuk melanjutkan perlindungan Perkeso bagi kemalangan yang berlaku di luar waktu kerja, termasuk semasa hari rehat, cuti am dan aktiviti harian lain.

    Di bawah pelaksanaan asal, semua pekerja Malaysia yang layak dan dilindungi oleh Perkeso didaftarkan secara automatik, dengan caruman dipotong daripada gaji mereka oleh majikan.

    Pekerja sepatutnya menanggung sepenuhnya kos skim itu, dengan caruman dikira berdasarkan gaji bulanan sehingga siling gaji RM6,000.

    Kadar caruman ditetapkan pada 0.75 peratus untuk dua tahun pertama, meningkat kepada satu peratus untuk tiga tahun berikutnya dan 1.25 peratus dari tahun keenam dan seterusnya.

    Sebelum ini, Setiausaha agung PSM Sivaranjani Manickam mengkritik perkara ini, dengan berkata, bahawa adalah wajar untuk majikan turut menyumbang kepada skim perlindungan berkenaan.

    Dia berhujah bahawa jika keuntungan syarikat boleh meningkat disebabkan sumbangan pekerja, maka majikan juga mesti berperananan yang lebih besar dalam memastikan pekerja mendapat perlindungan sosial yang sewajarnya.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah