Sekali lagi negara dikejutkan berkenaan kes seorang pelajar perempuan ditikam di sebuah sekolah menengah di Banting, Kuala Langat. Mangsa kini dirawat di Hospital Banting dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
Suspeknya bukanlah orang luar. Bukan juga penjenayah bersiri. Dia hanyalah seorang pelajar perempuan. Peguam bela suspek kemudiannya memaklumkan kepada pihak media bahawa anak guamnya merupakan orang kurang upaya (OKU) dan butiran ini penting yang wajar membuatkan kita semua lebih berhati-hati sebelum melemparkan label atau hukuman.
Kes ini sedang disiasat bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh, dan suspek direman selama empat hari.
Tragedi ini berlaku kurang sembilan bulan selepas kematian seorang pelajar perempuan yang ditikam oleh rakan sekolahnya di Bandar Utama, Petaling Jaya, dan hampir setahun selepas negara digemparkan dengan kes kematian Zara Qairina Mahathir di Sabah pada Julai 2025.

Namun, persamaan coraknya boleh kita sama-sama perhatikan iaitu pelakunya adalah remaja, sasarannya rakan sebaya, wujudnya nota bertulis, dan kekaguman terhadap keganasan yang diarkibkan di internet.
Penyelidik isu keganasan sekolah seperti Katherine Newman telah lama memerhatikan fenomena skrip budaya ganas (violent cultural script): apabila satu bentuk keganasan mendapat liputan secara meluas oleh media akan menyebabkan remaja yang bermasalah akan menjadikan itu sumber rujukan utama untuk mereka.
Pola yang berulang ini, bukan lagi satu kebetulan kerana apa yang tercatat dalam nota-nota yang tular di media sosial, wajar membuatkan kita semua menyemak kembali, apakah mesej tersembunyi daripada pola jenayah melibatkan pelajar sekolah sepanjang tahun 2025-26 yang perlu difahami secara ilmiah?
Dalam bidang psikologi sosial, tindakan agresif berpunca daripada sifat marah. Memahami kecenderungan seseorang bertindak agresif berpunca daripada survival instinct atau tenaga agresif yang wujud dalam diri.
Teori General Aggression Model (GAM) yang dibahaskan oleh profesor psikologi Craig Anderson dan Brad Bushman (2002) menjelaskan bahawa keganasan bukanlah ledakan sesaat.
Sebaliknya, ia adalah hasil daripada satu kitaran dan faktor dalam diri bertembung dengan tekanan persekitaran, lalu membentuk pemikiran, emosi, dan keghairahan fisiologi, sebelum melalui proses penilaian yang menentukan sama ada seseorang itu menahan diri atau bertindak agresif.
Nota-nota yang tular itu, jika benar tulen, memperlihatkan hampir setiap peringkat kitaran tersebut.
Di sinilah wujudnya ironi yang perlu kita hadapi dengan berani, apabila penularan nota-nota kes di Banting dan nota kes-kes yang lain menerusi perkongsian demi perkongsian, tangkapan skrin demi tangkapan skrin, sebenarnya adalah sebahagian daripada mekanisme penularan keganasan itu sendiri.
Setiap kali kita berkongsi, kita secara tidak langsung menyediakan satu templat khas kepada “mereka” untuk mengulangi jenayah ini. Oleh itu, amat wajar Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek merayu orang ramai agar tidak menyebarkan berita palsu atau mereka-reka fitnah memandangkan kes ini masih dalam siasatan pihak berkuasa.

Antara kandungan nota yang tular adalah watak “Kirby”. Nama watak permainan video Kirby berdasarkan apa yang diterangkan di laman sesawang mereka, menceritakan watak seorang adiwira yang baik namun mempunyai kuasa untuk menghapuskan musuhnya dengan kaedah menyerap kuasa musuh dan menukarkannya kepada kekuatan sendiri.
Persoalannya, bagaimana kaitan watak ini dengan tingkah laku agresif? Inilah mesej yang tersembunyi yang dikenali sebagai prosocial violent behavior. Menurut Holmes et al, (2019), prosocial violent merujuk kepada paparan watak wira menggunakan kekerasan fizikal, senjata, atau keganasan demi mencapai tujuan yang dianggap mulia, seperti melindungi orang awam atau menghukum watak jahat.
Kajian mendapati remaja akan menyerap "skrip kognitif" bahawa kekerasan adalah jalan penyelesaian yang sah asalkan mereka mempunyai alasan atau justifikasi moral yang kuat.
Paparan watak hero yang memanfaatkan kekerasan demi keadilan sebenarnya gagal mendorong golongan muda untuk lebih empati atau membantu sesama di alam nyata.
Dalam nota-nota yang tular di media sosial, terpapar dengan jelas: membunuh "pembuli" dianggap bukan satu dosa; membunuh "orang baik" barulah dikira berdosa.
Oleh hal yang demikian, prosocial violent behavior ini perlu dijadikan batu asas dalam skrip intervensi yang ingin dibangunkan supaya remaja tidak tersalah tafsir dengan definisi sebenar berkenaan kelakuan agresif.
Menurut Hadif Mohd Hamdan, pembantu penyelidik daripada Fakulti Undang-Undang Universiti Malaya, daripada sudut perundangan bahawa pengenalan Akta Antibuli 2026 merupakan inisiatif yang bagus.
Akta ini dirangka bertujuan membuat peruntukan mengenai mekanisme khusus untuk menangani, mencegah serta menguruskan kes buli di institusi pendidikan dengan penubuhan tribunal bagi antibuli.
Bagaimanapun, dalam mendepani insiden ekstrem yang berlaku dengan pantas seperti ini, ia membuka ruang untuk kita meneliti lompong undang-undang (legal lacunae) yang wujud.
Salah satu aspek yang wajar diperhalusi adalah peruntukan perlindungan liabiliti melalui Seksyen 51(1), yang melindungi pihak yang bertanggungjawab yang digariskan bawah Seksyen 51(1)(a) sehingga 51(1)(d) selagi mereka bertindak atas dasar "suci hati" (good faith).
Namun demikian, dari sudut aplikasi praktikal, ia memerlukan perbincangan lanjut: apakah kayu pengukur sebenar bagi pematuhan "suci hati" ini? Adakah kelengkapan dokumen rasmi dan penubuhan jawatankuasa sudah mencukupi, atau persekitaran sekolah sebenarnya memerlukan standard pengawasan yang lebih dinamik?
Persoalan ini penting kerana jika tanggungjawab yang digariskan itu gagal dilaksanakan dengan berkesan, ia berupaya menjejaskan matlamat asal undang-undang ini.
Persoalan yang lebih jujur yang patut kita tanya bukanlah "adakah permainan video menyebabkan keganasan", tetapi bagaimana ekosistem digital remaja pada hari ini menjadi ruang untuk remaja yang terluka membina, melatih, dan mendapat pengesahan terhadap fantasi keganasan mereka.
Kesimpulannya, intervensi yang ada hanyalah sekadar alat pengekangan yang bersifat sementara, kerana keganasan tidak bermula di hujung mata pisau; ia bermula jauh lebih awal, seawal ketika seorang anak menulis di dalam diam bahawa dia tidak layak dilahirkan ke dunia, dan tiada sesiapa pun yang membaca rintihannya.
Di sinilah bermula apa yang kita kenali sebagai kecenderungan kelakuan agresif yang berpunca dari perasaan marah yang tidak dilunaskan.
Antara cadangan intervensi awal yang boleh dibincangkan dan perhalusi oleh semua pihak adalah:
Pertama, reformasi institusi: Perlu wujud sistem penilaian kecenderungan kelakuan yang agresif yang tersusun di sekolah supaya kluster pelajar yang cenderung kepada kelakuan ini dapat ditangani segera sebelum kelakuan agresif bertukar menjadi kelakuan ganas.
Kedua, intervensi teknologi: mewujudkan satu sistem digital yang mengumpulkan pelajar yang cenderung berkelakuan agresif agar perubahan pola tingkah laku dapat dipantau dengan efisien melalui bantuan kecerdasan buatan.
Persoalannya pada hari ini bukan lagi sama ada berapa banyak kes buli? Siapa yang membuli? Intervensi apa yang paling efektif? Persoalan yang sepatutnya ialah: siapakah yang mampu mengenal pasti simptom buli ini sebelum ia berlaku? Adakah kita atau algoritma?
ZIYAD ZAHARIM merupakan pensyarah kanan di Universiti Malaya dan pengkaji dalam bidang psikologi sosial dan sains komunikasi.
Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi institusi. Ia juga tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
Jika anda atau sesiapa yang anda kenali bergelut dengan tekanan emosi atau berfikiran untuk mencederakan diri, sila hubungi Talian HEAL 15555 (Kementerian Kesihatan Malaysia) atau Befrienders KL di 03-7627 2929.





