ULASAN | Secara adil, boleh dikatakan bahawa tiada satu pun parti yang menyertai PRN Johor ini mahukan kerajaan yang lemah dan tidak stabil untuk mentadbir negeri serta mengurus rakyat.
Justeru, tidak hairanlah apabila masing-masing mendakwa sebagai parti terbaik untuk tujuan tersebut walaupun hakikatnya ada saja parti yang gagal menyediakan manifesto pilihan raya.
BN selaku parti yang mentadbir sebagai kerajaan sementara sudah tentu memiliki kelebihan sepanjang proses kempen. Mereka boleh menunjukkan kejayaan demi kejayaan kepada seluruh rakyat dan menggunakan pelbagai kemudahan untuk sampai ke setiap pengundi bagi membentangkan mesej dan harapan.
PAS dengan kerjasama Wawasan pula memiliki deposit undi yang tidak kecil jika dibandingkan dengan PH dan BN.
Berdasarkan undi popular yang diperolehi pada PRU yang lalu, kedua-dua parti itu mampu memberikan saingan sengit kepada BN.
Cuma perpecahan dalaman PN tetap menimbulkan tanda tanya – bukan hanya kepada penganalisis politik malah kepada ahli dan penyokong PN sendiri.
Apakah pengundi PN setia dengan PAS dan Wawasan, atau mereka memilih Bersatu?
Malah tidak mustahil jika mereka beralih angin untuk memberikan sokongan kepada BN dan PH pula.
Dalam PRN kali ini, hanya PH dan BN yang nampak benar-benar bersungguh kerana meletakkan calon di semua 56 kerusi DUN.
PN pula, di sebalik pelbagai strategi yang dirangka, hanya mencabar di 33 kerusi. Enam belas daripadanya diwakili Bersatu 16 manakala PAS hanya 11.
Lima lagi kerusi ditandingi Parti Rakyat India Malaysia dan baki satu oleh Pejuang.
Mujur ada Muhyiddin
PH memujuk pengundi untuk memilih mereka yang turut menjadi parti utama dalam pentadbiran kerajaan Malaysia. Keseragaman kerajaan Johor dan Malaysia yang berpusat di Putrajaya menjadi hujah dominan PH untuk meraih sokongan rakyat Johor.
Malah mereka tidak rasa bersalah untuk menjual idea kebersamaan dan kesatuan antara kaum bagi memajukan Johor. Di situlah bezanya PAS, Bersatu dan Umno dalam BN.
Melihat kepada semua parti yang bertanding, Bersatu sebenarnya mempunyai beberapa situasi yang unik dan sangat menarik untuk diteliti.
Mereka bertelagah dengan PAS tetapi kedua-duanya masih mengguna logo PN. Bersatu – yang gagal disingkirkan oleh PAS dari PN – terus menyertai pilihan raya dengan gah dan berani.
Ia dilakukan ketika orang ramai berterusan mempertikaikan hala tuju Bersatu.

Tidak dinafikan, Bersatu adalah mangsa kerjasama diam-diam antara PAS dan BN serta pengkhianatan di siang hari oleh PAS dan Wawasan.
Mujurlah kepimpinan Muhyiddin Yassin berjaya menjadi tulang belakang kekuatan Bersatu mengharungi situasi unik tersebut.
Walaupun begitu, pengundi-pengundi Bersatu tetap menghadapi kesukaran di kawasan yang tiada calon parti sendiri. Apakah mereka tergamak mengundi calon PAS ketika parti mereka diperlakukan dengan sangat buruk walaupun sama-sama berpayung di bawah simbol sama?
Atau mahukah mereka menjadi berani mengundi PH yang sedang mentadbir Putrajaya Mungkinkah mereka memilih BN yang diyakini sesetengah pihak mampu mengekalkan kedudukan sebagai kerajaan?
Bermula sejak agak lama
Saya melihat dilema ahli dan penyokong Bersatu melangkaui PRN Johor ini. Ia bukan sekadar membentuk kerajaan negari bahkan mereka perlu melihat lebih jauh.
Penyokong Bersatu sebenarnya tidak boleh terlepas pandang untuk melihat kepada kelangsungan hayat politik parti ketika kedudukannya kekal tidak menentu dalam PN yang dikuasai PAS.
Sudah tentu dari sehari ke sehari rasa dikhianati itu semakin menebal. Amat berisiko sebenarnya Bersatu jika mereka salah memilih kawan untuk PRN ini.
Ya, Bersatu bergerak solo dan tidak seperti BN atau PH yang merupakan pakatan parti-parti politik.
Apakah mereka bersedia untuk berkawan dengan mana-mana parti selepas keputusan diumumkan Sabtu nanti agar kelangsungan parti terjamin? Ahli dan penyokong Bersatu saja yang boleh menjawabnya.

Sudah pasti keputusan PRN Johor memberi impak langsung dan besar kepada Bersatu.
Secara jujurnya, kita sukar menolak bahawa PAS dan Wawasan sudah memutuskan hubungan kasih dan mesra mereka dengan Bersatu. Ia bukan benda baru. Ia bermula sejak agak lama dulu.
Apa yang berlaku pada PAS dan Wawasan baru-baru ini sekadar formaliti saja. Ia kira-kira seperti sepasang suami isteri yang sudah dinikahkan namun baru diberikan sijil pengesahan.
PAS dan Bersatu masih ‘bersama’ hanya kerana faktor teknikal saja. Sedangkan hakikatnya PAS dan Wawasan sama-sama mengharapkan Bersatu berkubur tanpa nisan.
Hakikat yang perlu diterima
Dakwaan ini sukar untuk dinafikan apabila melihat kepada sokongan terbuka dan berahi PAS terhadap kumpulan pimpinan Hamzah Zainudin.
Perlu diingat, sikap keras itu adalah mudah bagi PAS. Justeru apalah sukarnya untuk mereka berkeras juga mematikan Bersatu.
PAS pada bila-bila masa boleh memilih mana-mana dalil yang tersedia dalam minda para pemimpinnya untuk disesuaikan dengan sikap terhadap parti yang dulunya kawan, hari ini menjadi musuh.
Apakah BN juga mahu membunuh Bersatu?

Melihat kepada ancaman Bersatu terhadap BN sepanjang PRU dan PRN beberapa negeri sebelum ini, tidak sukar untuk rakyat Malaysia mengakui bahawa BN yang diketuai oleh Umno telah dan akan merancang pelbagai strtaegi untuk menutup kisah Bersatu.
Apabila berlaku pertembungan antara kepentingan bangsa dan politik kepartian, sukar untuk melihat parti-parti politik mengutamakan bangsa. Itu hakikat yang perlu kita terima sama ada suka atau tidak.
Justeru kelangsungan hayat Bersatu banyak bergantung kepada kelemahan kerjasama PAS, Wawasan dan BN. Jika ia lemah, Bersatu ada peluang sangat besar untuk terus mara.
Masa depan Bersatu
Jika gabungan itu kuat dan menghasilkan impak besar dalam PRN Johor, sudah tentu PH terancam. Namun dalam isu ini, ia tidak sekadar PH. Bersatu juga sedang berada di tebing gaung yang dalam.
Adakah Bersatu bersedia berdepan dengan ancaman sedemikian?
Tidak syak lagi, di kawasan yang tiada calon Bersatu, pengundi tiada pilihan selain memenangkan sesiapa saja yang menjadi lawan kepada PAS, Wawasan dan BN walaupun siapa pertaruhan yang diletakkan.
Malah jika Bersatu menjalinkan hubungan terbuka dan positif dengan PH selepas PRN nanti, itu pasti akan mengukuhkan semula kedudukan mereka dalam persada politik Malaysia.
Jangan lupa, selepas Johor, parti-parti politik akan bertarung dalam gelanggang PRN Negeri Sembilan pula. Kemudian akan ada PRN lain atau PRU yang mengambil giliran.
Begitulah politik. Ketika maruah kita dihina, pimpinan dimaki hamun, parti dipersendakan, tindakan balas mesti dilakukan iaitu dengan memastikan pelaku perbuatan keji tersebut menerima padah politik – tewas dalam PRN terdekat.
Ahli-ahli Bersatu mesti kekal bermaruah!
GHANI ISMAIL ialah pembaca media sosial dan pemerhati politik yang berminat untuk melihat tumbangnya Argentina dalam Piala Dunia 2026 seperti tumbangnya kesombongan politik.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





