33.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, July 9, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ‘Hebat bomoh PAS, boleh halau hantu di rumah Umno dalam 4 bulan’

    Shopee Sale

    Seorang tokoh Bersatu mempersoalkan sama ada "hantu" yang sebelum ini didakwa menghuni "rumah Umno" sudah hilang, susulan gesaan PAS supaya penyokongnya membantu kemenangan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan.

    Ahli akademik Marzuki Mohamad secara sinis berkata jika benar "hantu-hantu" itu sudah tiada, PAS berkemungkinan mempunyai "bomoh" yang hebat kerana mampu menghalaunya dalam tempoh hanya empat bulan.

    "Bulan Mac (PAS) kata rumah Umno banyak hantu. Bulan Mei ajak Umno bermuzakarah. Bulan Julai seru penyokong PAS sokong Umno. Dah hilang ke hantu-hantu dalam rumah Umno tu?

    "Kalau betul dah tiada hantu dalam rumah Umno, hebatlah 'bomoh' PAS. Dalam masa empat bulan saja boleh halau hantu-hantu itu semua. Apa 'pengerasnya' tak tahulah," katanya dalam hantaran di media sosialnya, hari ini.

    Marzuki berkata demikian merujuk kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang pada Mac lalu yang mendakwa Umno mengalami "penyakit waswas" akibat bisikan syaitan.

    Dalam tulisan Minda Presiden PAS di Facebook pada 12 Mac, Abdul Hadi berkata PAS menghantar pemerhati ke pertemuan “Rumah Bangsa” anjuran Umno bagi melihat sendiri pihak yang hadir.

    Menurutnya, walaupun wakil DAP tidak hadir, pertemuan itu menunjukkan wujud kekeliruan dalam kalangan ahli Umno sendiri akibat “bisikan syaitan’.

    Dalam pertemuan tersebut, dakwa Abdul Hadi, PAS dapat menyaksikan bahawa Umno sedang dilanda masalah sehingga ramai ahli meninggalkan perjuangan parti terbabit.

    Mengulas lanjut, Marzuki yang juga bekas ketua setiausaha sulit kepada bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin berkata pendirian PAS dan Umno berhubung kerjasama politik perlu diperjelaskan kepada rakyat, bukannya berubah mengikut keadaan.

    "Jika PAS betul-betul mahu bekerjasama dengan Umno, dan Umno betul-betul mahu bekerjasama dengan PAS, jalinkan kerjasama secara rasmi.

    MENARIK:  'Naik taraf satu lapangan terbang RM2b, aku kena potong bajet 4 hospital'

    "Tandatangani perjanjian persefahaman dan kerjasama politik Umno-PAS, termasuk persetujuan membentuk pakatan pilihan raya supaya kedua-dua parti tidak bertembung di kerusi yang ditandingi," katanya.

    Marzuki berkata satu lagi pilihan ialah PAS meninggalkan Perikatan Nasional (PN) dan memohon menyertai BN, sambil mengingatkan bahawa parti itu pernah menjadi anggota gabungan tersebut.

    Katanya, langkah itu akan memberi kejelasan kepada rakyat berbanding keadaan sekarang yang disifatkannya sebagai "tengok angin".

    "Dalam keadaan mahu meraih sokongan Melayu, sokongan PAS dialu-alukan. Tetapi apabila bimbang kehilangan sokongan pengundi Cina yang tidak menyukai PAS, parti itu pula ditolak.

    "Yang mana satu nak pegang ni?" soalnya.

    Marzuki turut mengingatkan penghuni "rumah Umno" supaya terus berwaspada kerana jika usaha kerjasama itu tidak menjadi seperti diharapkan, "mungkin hantu datang balik".

    Malam tadi, Abdul Hadi berkata PAS bersedia membantu Umno-BN pada PRN Johor, sama ada untuk mencukupkan majoriti mudah atau mengukuhkan kemenangan sehingga memperoleh majoriti dua pertiga.

    Bagaimanapun, katanya, perkara itu bergantung kepada jumlah kerusi yang dimenangi PAS pada Sabtu ini.

    PAS bertanding di 11 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor, selain mengarahkan penyokongnya mengundi calon BN, termasuk MCA dan MIC, di kawasan yang tidak ditandingi PN.

    BN dan PH pula bertanding di semua 56 kerusi, dengan 29 kerusi diperlukan untuk membentuk kerajaan negeri.

    Di sebalik pelawaan Abdul Hadi itu, Pengerusi BN Johor, Onn Hafiz Ghazi, menegaskan PAS tidak akan menjadi sebahagian daripada kerajaan negeri sekiranya BN memenangi PRN.

    Onn Hafiz, yang juga menteri besar sementara, turut menafikan dakwaan bahawa dia bersedia memperuntukkan jawatan Adun lantikan kepada pemimpin PAS.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah