31 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Perbicaraan Bersatu tak adil, Saifuddin kemuka tiga tuntutan

    Shopee Sale

    Lembaga disiplin Bersatu didakwa menolak tuntutan Saifuddin Abdullah untuk mendapatkan perbicaraan yang adil, termasuk menolak permintaannya supaya Presiden parti, Muhyiddin Yassin, dipanggil memberi keterangan kepada lembaga disiplin pada 6 November lalu.

    Semalam, parti itu secara rasmi mengumumkan keputusan memecat Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, yang juga merupakan anggota Majlis Tertinggi Bersatu, atas dakwaan melanggar perlembagaan parti.

    Saifuddin berkata dia akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut, terutamanya kerana lembaga disiplin gagal memenuhi “tiga tuntutan munasabahnya” bagi memastikan proses perbicaraan yang adil tanpa konflik kepentingan.

    "Oleh kerana pendakwaan terhadap saya melibatkan pertuduhan bahawa saya, antara lain, “mencadangkan Tan Sri Presiden meletakkan jawatan”, maka, terdapat beberapa persoalan yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin.

    "Persoalan-persoalan ini hanya boleh dijawab oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden Bersatu Malaysia, dan bukannya oleh pengadu, penyiasat, pendakwa saya ataupun Lembaga Disiplin.

    "Maka, adalah amat sesuai dan menjadi suatu keperluan yang mustahak untuk memanggil Tan Sri Muhyiddin memberi penjelasan kepada Lembaga Disiplin bagi menjawab beberapa isu yang akan saya bangkitkan di hadapan Lembaga Disiplin," kata Saifuddin dalam kenyataan hari ini.

    Pada November lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memanggil Saifuddin berhubung pelbagai tuduhan, termasuk menyerang presiden parti, mengadakan kempen untuk peletakan jawatan presiden, dan mengeluarkan kenyataan yang merosakkan reputasi parti.

    Ini berlaku selepas dia menyatakan bantahan terbuka terhadap Muhyiddin pada Oktober tahun yang sama.

    Dalam kenyataannya hari ini, Saifuddin menegaskan bahawa lembaga disiplin hanya boleh meneruskan dakwaan terhadapnya setelah meneliti keterangan Muhyiddin mengenai soalan dan isu yang ingin dikemukakan semasa perbicaraan.

    "Sekiranya jawapan-jawapan yang diberikan oleh Tan Sri Presiden terhadap persoalan-persoalan dan isu-isu tersebut adalah affirmative, maka tindakan saya mencadangkan beliau untuk melepaskan jawatan Presiden Bersatu Malaysia bukanlah menjadi sesuatu perkara yang boleh dianggap menyerang Presiden ataupun menjejaskan imej parti,” tegasnya.

    Dakwaan “Konflik Kepentingan” Lembaga Disiplin

    Saifuddin turut mendakwa bahawa Lembaga Disiplin Bersatu membuat keputusan walaupun wujud konflik kepentingan yang jelas.

    MENARIK:  1MDB untungkan Malaysia, kata Najib

    Selain meminta keterangan Muhyiddin, dia juga menuntut dua ahli jawatankuasa lembaga itu mengundurkan diri daripada sesi perjumpaan melibatkan dirinya atas alasan mereka mempunyai konflik kepentingan.

    Dua individu itu, Radzi Manan dan Sasha Lyana Abdul Latif, dikaitkan secara langsung dengan pemimpin tertinggi parti, iaitu Faizal Azumu dan Azmin Ali, yang merupakan penyokong kuat Muhyiddin.

    Selain itu, Saifuddin menuntut agar lembaga disiplin mendedahkan identiti pihak yang membuat aduan terhadapnya, tetapi setakat ini pihak lembaga masih enggan memberikannya.

    "Adalah amat penting untuk saya mendapatkan kepastian bahawa penyiasat kes saya, pihak yang membuat pendakwaan ke atas saya dan AJK lembaga disiplin yang akan memutuskan nasib saya adalah tiga pihak yang berbeza. Ini bagi memastikan saya mendapat keadilan yang sewajarnya,” katanya.

    Menurut Saifuddin, lembaga disiplin tidak menunaikan tanggungjawab ini, kerana semua perananan tersebut dilaksanakan oleh individu yang sama.

    “Saya menyatakan bahawa hal ini adalah amat tidak adil dan berlawanan dengan prinsip natural justice dan fair trial.

    "Sekiranya ketiga-tiga Tuntutan tersebut dipenuhi, maka saya bersedia menghadiri sesi perjumpaan seterusnya dan memberi kerjasama penuh kepada LD.

    "Namun sehingga 6 Januari 2026, saya tidak menerima apa-apa maklumat daripada Lembaga Disiplin,” jelasnya.

    Pada Oktober lalu, Saifuddin menggesa Azmin Ali, yang juga bekas timbalan presiden PKR digugurkan sebagai Setiausaha Agung Bersatu atas alasan masalah moral.

    Susulan itu dia dipecat sebagai Pengerusi Perikatan Nasional Pahang.

    Saifuddin mempertahankan kritikan terhadap Muhyiddin dengan menyatakan bahawa bekas perdana menteri itu juga pernah berbuat demikian ketika Abdullah Ahmad Badawi menjadi presiden Umno.

    Bersama 15 Ahli Parlimen Bersatu lain, dia menandatangani surat kepada Muhyiddin bagi membantah pemecatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan, penggantungan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan membantah tindakan lembaga disiplin memanggil Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin pada tahun lalu.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah