Bersatu menolak cadangan untuk menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor, dengan menyifatkannya sebagai langkah “penakut” yang tidak berasas memandangkan negara tidak berdepan krisis kesihatan seperti era Covid-19.
Presidennya Muhyiddin Yassin berkata saranan oleh wakil rakyat DAP supaya darurat diisytiharkan bagi menangguhkan pilihan raya tidak mempunyai justifikasi kukuh, malah dipercayai didorong kebimbangan politik.
"Bagi saya tak ada sebab (tangguh PRN). Kalau ini disarankan oleh wakil rakyat DAP, dia minta untuk diistyiharkan darurat untuk tujuan menangguhkan pilihan raya.
"Waktu kami (Perikatan Nasional) dulu ada darurat, tangguh pilihan raya pasal ada masalah kesihatan. Saya tak tahu apa sebab sekarang minta ditangguhkan. Andaian kata takut kalau ada pilihan raya sekarang dia kalah.
Cadang mohon Agong isytihar darurat
"Kalah kerana orang sedang marah. Marah masalah minyak, diesel, kos sara hidup. Bagi saya tak ada sebab (untuk tangguh).
“Sebab kalau kerajaan dah buat keputusan untuk pilihan raya, kami dalam pembangkang PN bersedia bila-bila masa," katanya kepada media ketika ditemui di Majlis Silaturrahmi Aidilfiri Gombak di Gombak hari ini.
Turut hadir Setiausaha Agung Bersatu, Mohamed Azmin Ali dan Adun Gombak Setia, Muhammad Hilman Idham.
Sebelum ini, Anggota Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong mencadangkan kerajaan Melaka memohon pengisytiharan darurat daripada Yang di-Pertuan Agong bagi menangguhkan PRN.
Cadangan itu dikemukakan ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang meningkat, khususnya susulan isu bahan api.
Namun, ia mengundang kritikan daripada Ketua Pemuda Umno, Akmal Saleh, yang menegaskan krisis ekonomi bukan alasan munasabah untuk darurat.

"Dulu zaman BN menjadi kerajaan kita menghadapi krisis ekonomi juga. Tiada pula nak isytihar darurat," bidas Akmal.
Pada masa sama, pembangkang di Johor dan Melaka dilaporkan turut menolak cadangan penangguhan tersebut dengan alasan sistem pentadbiran negara masih berjalan seperti biasa.
Mengulas lanjut, Muhyiddin menyifatkan cadangan DAP Melaka itu sebagai percubaan menyalahgunakan peruntukan darurat bagi kepentingan politik.





