31 C
Kuala Lumpur
Monday, April 20, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Sultan batal santapan Jubli Perak, arah dana diguna bantu rakyat

    Shopee Sale

    Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan supaya Sambutan Jubli Perak bersempena dengan 25 Tahun Pemerintahan baginda dilaksanakan secara sederhana dengan mengurangkan beberapa program telah diatur.

    Titah baginda, keputusan tersebut dibuat selepas berunding dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor, mengambil kira keadaan ekonomi global tidak menentu ketika ini, yang turut memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat.

    “Beta menzahirkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah kerana mengurniakan beta peluang untuk terus berkhidmat kepada negeri dan rakyat Selangor sepanjang tempoh ini. Masa berjalan dengan begitu pantas dan tidak semua pemerintah yang sempat sampai selama tempoh 25 tahun pemerintahan.

    “Beta mengambil maklum bahawa peruntukan telah disediakan oleh kerajaan negeri, namun melihat kepada kegawatan ekonomi dunia sekarang hingga tempiasnya dirasai negara kita dan memahami kesusahan terpaksa ditanggung sekalian rakyat...maka beta membuat keputusan agar sambutan Jubli Perak dilaksanakan secara sederhana dan tidak berlebihan,” titah baginda.

    Sultan Sharafuddin bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025 di Dewan Negeri Selangor hari ini.

    Justeru, Sultan Sharafuddin memutuskan agar majlis santapan malam diraja di lstana Alam Shah, Klang tidak diadakan, manakala pertunjukan bunga api serta penganjuran konsert diraja atau konsert rakyat dibatalkan.

    “Sebaliknya, beta hanya berkenan diadakan dua atau tiga kali jamuan teh untuk rakyat diadakan di Padang Mahkota di lstana Alam Shah, Klang dengan menjemput kira-kira 8,000 rakyat.

    “Ini terdiri daripada rakyat beta, golongan anak yatim, golongan orang kurang upaya, pegawai kerajaan yang masih berkhidmat di Selangor serta pesara kerajaan termasuk anggota tentera, polis dan bomba yang telah menyumbang bakti kepada kemajuan, kernakmuran dan keamanan Selangor,” titah baginda.

    Baginda turut menitahkan satu majlis jamuan teh khas diadakan bersama ketua pegawai eksekutif (CEO) atau wakil syarikat asing yang melabur di Selangor sebagai penghargaan terhadap sumbangan mereka kepada pembangunan negeri.

    MENARIK:  ‘Duit raya RM100’: Rasuah dibimbangi warnai pemilihan PKR

    Dalam pada itu, majlis rasmi di Istana Alam Shah, Klang hanya akan melibatkan acara Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Bintang sempena Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda.

    Baginda turut menitahkan segala perbelanjaan bagi sambutan tersebut hendaklah dilaksanakan secara berhemat serta diuruskan dengan penuh ketelusan and integriti.

    “Beta mahu peruntukan sambutan Jubli Perak yang telah dijimatkan daripada pengurangan program ini, digunakan bagi membantu rakyat yang susah dan jangan sekali-kali digunakan untuk maksud lain,” titah baginda.

    Selain itu, baginda turut menitahkan agar mana-mana pihak berhasrat untuk menaja atau menyumbang kepada sambutan berkenaan menyalurkan sumbangan mereka kepada Yayasan Sultan Selangor atau badan kebajikan lain, supaya manfaatnya dapat dinikmati golongan memerlukan.

    Sultan Sharafuddin turut menasihatkan rakyat agar mengambil langkah berjimat-cermat dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa yang amat mencabar ketika ini dan menitahkan agar kerajaan negeri memberi keutamaan sepenuhnya kepada perbelanjaan keperluan asas penting, bagi membantu rakyat meringankan beban dihadapi.

    “Beta berasa amat bimbang dengan kenaikan harga minyak dan gas dunia serta kekurangan bekalan minyak akibat daripada peperanangan di Asia Barat yang telah memberi kesan langsung kepada negara kita, hingga mengakibatkan kenaikan harga minyak dan kenaikan harga barangan keperluan, sekali gus mengakibatkan peningkatan kos sara hidup rakyat.

    “Segala bentuk pembaziran hendaklah dielakkan dan setiap sen dibelanjakan mestilah memberi faedah sepenuhnya kepada rakyat terutama yang teruk terjejas dan memerlukan bantuan. Kerajaan beta perlu ingat, kebajikan rakyat hendaklah sentiasa menjadi keutamaan dalam setiap peranancangan dan pelaksanaan dasar negeri,” titah baginda.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah