Presiden Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela), Zainul Rijal Abu Bakar menyokong tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) yang melarang sebuah persatuan tokong daripada menganjurkan majlis rumah terbuka Aidilfitri.
Katanya, penganjuran majlis berkaitan agama Islam oleh persatuan agama bukan Islam sebagai sesuatu yang "pelik" dan tidak sesuai dilakukan di pekarangan rumah ibadat agama lain.

"Sangat pelik apabila persatuan agama bukan Islam hendak menganjurkan majlis yang mempunyai kaitan dengan agama Islam. Tahniah kepada Jabatan Agama Islam Pulau Pinang dan Mufti Pulau Pinang yang melarang program tersebut.
"Walaupun tiada ibadah Islam akan dilakukan di dalam program tersebut, ia masih tidak sesuai dianjurkan bukan Islam.
“Biarlah orang Islam yang anjurkan dan tidak di dalam perkarangan rumah anutan bukan Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peguam itu turut menegaskan bahawa konsep keharmonian tidak seharusnya menormalisasikan program sedemikian sehingga mengabaikan sensitiviti agama.
"Harmoni bukan tiket melakukan segala-galanya. Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.
“Hormatilah sensitiviti itu. Jangan normalisasi program sebegini walaupun atas nama harmoni," katanya lagi.
Isu sensitiviti dan kekeliruan akidah
Terdahulu, Mufti Pulau Pinang Mohd Sukki Othman menjelaskan bahawa larangan terhadap Persatuan Tokong Thean Hock Keong itu dibuat bagi menjaga sensitiviti serta mengelakkan kekeliruan akidah dalam kalangan umat Islam.
Menurut Mohd Sukki, keputusan itu berasaskan prinsip syariah Sadd al-Zari’ah (menutup pintu kemudaratan) bagi mengelakkan salah faham masyarakat awam mengenai batas interaksi antara agama.

"Terdapat sensitiviti yang perlu dijaga agar tidak menimbulkan tanggapan bahawa wujudnya pengiktirafan terhadap ritual atau amalan keagamaan lain dalam bentuk yang boleh mengelirukan umat Islam," kata Mohd Sukki.
Sebelum ini, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang mengeluarkan surat larangan kepada Persatuan Tokong Thean Hock Keong dengan menyatakan bahawa sambutan Aidilfitri adalah aktiviti keagamaan masyarakat Islam yang memerlukan kebenaran Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang.
Susulan itu, setiausaha persatuan tersebut, Ng Choong Seong menyatakan rasa kecewa atas pembatalan berkenaan memandangkan pihaknya telah merancang rapi termasuk menyediakan makanan halal dan berunding dengan pemimpin masjid tempatan bagi memupuk perpaduan komuniti.





