Cadangan operasi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang dilihat kurang seimbang antara komposisi kargo dan penumpang dibimbangi gagal memberi manfaat sepenuhnya kepada orang ramai, khususnya dalam mengelakkan kesesakan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Karak.
Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail mencadangkan agar peranancangan asal iaitu 70 peratus kargo dan 30 peratus penumpang dilihat semula supaya ia lebih memberi manfaat kepada pengguna.
"Kalau ikut perkiraan dengan hanya sekitar 400 penumpang sahaja boleh menggunakan ECRL pada satu-satu masa, saya fikir ia tidak dapat menyelesaikan isu kesesakan di Lebuh raya Kuala Lumpur-Karak.
"Itu belum dikira dengan peluang kepada penduduk di Pahang... ECRL ini bermula di Kota Bharu, Kelantan dan kemudian lalu Terengganu, barulah (sampai) Pahang.

"Dengan hanya 400 tempat duduk, saya bimbang akhirnya orang Pahang cuma boleh tengok saja ECRL lalu sebab tiket dah habis.
"Jadi benda-benda ini saya akan bangkitkan bila bertemu pihak ECRL dan saya harap dalam masa terdekat boleh jumpa mereka," katanya ketika sidang media di Kuantan, Pahang, hari ini.
Terdahulu, dia merasmikan Malaysia East Coast Trade and Entrepreneur Expo 2026 yang disertai kira-kira 500 peserta.
Hadir sama Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah.
Sementara itu, ketika ditanya perkembangan terkini inisiatif 'Rumah Bangsa' dan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno di Melaka, malam tadi, Wan Rosdy yang juga Naib Presiden Umno memaklumkan, lebih ramai tokoh daripada parti itu yang keluar, akan kembali menyertai Umno.
"Ada ramai lagi dan ia akan berlaku secara berperingkatlah... macam di tempat saya (Bahagian Cameron Highlands), hari ini dah ada 12 orang mohon untuk masuk balik Umno," katanya.
Dia dalam masa yang menyambut baik penerimaan semula ahli parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussien dan bekas Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin ke dalam parti.





