Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno yang berlangsung malam ini memutuskan bahawa parti itu bersetuju menerima semula bekas pemimpinnya termasuk Hishammuddin Hussein, Khairy Jamaluddin dan Syed Hamid Syed Jaafar Albar.
Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, berkata, MKT menyokong penuh gagasan Rumah Bangsa yang dicetuskan Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk menerima kembali tanpa syarat mana-mana ahli yang digantung, dipecat atau keluar parti.
"Antara nama-nama pemohon yang telah diputuskan oleh MKT termasuk Hishammuddin Tun Hussein, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Syed Hamid Syed Jaafar Albar dan 6,252 bekas pimpinan serta ahli di peringkat Umno Bahagian dan Cawangan seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan
Menurutnya, mesyuarat itu turut meluluskan pindaan peraturan keahlian Umno bagi membolehkan pendaftaran ahli baru dibuat secara dalam talian, selaras dengan usaha memudahkan kemasukan golongan muda ke dalam parti.
Dalam pada itu, MKT turut membincangkan isu kos sara hidup rakyat yang terkesan akibat kenaikan harga minyak dan inflasi global, selain kesan ketidaktentuan ekonomi antarabangsa.
Sehubungan itu, kepimpinan Umno di negeri-negeri ditadbir parti itu khususnya di Johor, Melaka, Perak dan Pahang disaran memfokuskan bantuan-bantuan tambahan kepada pelbagai kelompok masyarakat yang terkesan.
Umno turut mengumumkan penganjuran Sambutan 80 Tahun parti itu yang akan berlangsung dari 1 hingga 5 Mei di World Trade Centre Kuala Lumpur, dengan pelbagai program termasuk konvensyen, kongres pendidikan dan karnival keusahawanan.
Selain itu, katanya, MKT membenarkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri Umno mengadakan persidangan cawangan secara hibrid bagi memudahkan penyertaan ahli, khususnya dalam tahun yang tiada pengundian parti.





