Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) hari ini menggesa kerajaan memberikan penjelasan terperinci mengenai dasar “UEC+2” berkaitan kemasukan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC) ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Ini susulan dakwaan wujud percanggahan kenyataan antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Presidennya, Tan Yew Sing berkata, pihaknya kesal dengan keputusan Jemaah Menteri yang hanya membenarkan pemegang UEC yang lulus Bahasa Melayu dan Sejarah dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memohon empat kursus berkaitan bahasa dan pengajian Cina di tiga universiti awam sahaja.
“Perdana Menteri, sewaktu Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan pada 16 Mei lalu telah menyatakan secara terbuka bahawa pemegang UEC yang layak tidak terhad pilihannya kepada kursus-kursus terkait bahasa semata-mata, dan boleh memohon ke mana-mana kursus yang bersesuaian seperti perakaunan.
“Namun begitu, kenyataan beliau baru-baru ini jelas bercanggah dengan kenyataan rasmi terbaru daripada KPT. Situasi ‘satu dasar, dua nada’ bagi sebuah dasar yang sebegini penting adalah amat mengelirukan.
“Oleh itu, kerajaan perlu segera memperincikan dasar ini secara konkrit demi melenyapkan kemusykilan semua pihak, termasuk skop kursus yang boleh dimohon oleh pemegang UEC pada peringkat ini, kaedah pengiraan merit, serta saluran pendaftaran,” katanya dalam sidang media di ibu pejabat Dong Zong di Kajang, hari ini.
Turut hadir Presiden Jiao Zong, Cheah Lek Aee.

Sebelum ini, isu UEC kembali menjadi pertikaian pelbagai pihak selepas Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengumumkan bahawa lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta sekolah menengah persendirian Cina (SMPC) berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.
Mereka yang memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh memohon program ditawarkan melalui sistem UPUOnline, mengikut kiraan merit berdasarkan pakej mata pelajaran yang ditetapkan.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program yang dikenal pasti ialah diploma dan sarjana muda dakwah, diploma dan sarjana muda al-Quran dan as-Sunnah, sarjana muda pendidikan tahfiz serta sarjana muda pengajian Islam (Dakwah).
Bagi lepasan SMPC yang memiliki UEC pula, antara program yang boleh disertai ialah sarjana muda sastera pengajian bahasa Cina dengan kepujian, sarjana muda bahasa dan linguistik Cina, sarjana muda sastera pengajian Cina dan sarjana muda bahasa Cina dengan pendidikan.
Bagaimanapun, mereka tetap tertakluk kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia serta diperakui oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Mengulas lanjut, Tan berkata kenyataan KPT itu menimbulkan jurang besar berbanding harapan masyarakat Cina yang mahukan laluan ke IPTA secara menyeluruh.
“Dong Zong dan Jiao Zong amatlah kesal dengan keputusan tersebut. Kepelbagaian laluan kemasukan ke IPTA tidak harus dipolitikkan.
“Kami secara tegas ingin mengingatkan semua pihak bahawa dasar yang terkait adalah berkenaan penyediaan saluran kemasukan yang pelbagai ke IPTA. Ini merupakan elemen penting dalam skop reformasi dasar pendidikan tinggi, dan bukannya berkenaan isu pengiktirafan penuh UEC.
“Isu pengiktirafan penuh UEC adalah lebih luas dan harus merangkumi pengiktirafan terhadap kedudukan pendidikan pelbagai aliran serta pengagihan sumber negara secara adil, termasuklah kelayakan bagi tujuan pelantikan dalam perkhidmatan awam dan permohonan biasiswa tajaan kerajaan.
“Kedua-dua perkara ini tidak harus dicampuradukkan, dan tidak patut dipolitikkan sama sekali oleh mana-mana pihak,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Dong Zong dan Jiao Zong menyeru graduan Sijil Peperiksaan Menengah Persendirian Cina (SMPC) tahun ini yang berminat dalam kursus bahasa dan pengajian Cina agar merebut peluang yang ditawarkan.
“Kami menyeru para graduan SMPC tahun ini yang berminat untuk mengikuti kursus berkenaan bahasa dan pengajian Cina agar merebut peluang ini dan segera membuat permohonan.
“Perkembangan ini diharapkan akan menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar dan bermakna di masa hadapan.
“Pada masa yang sama, kami berharap agar kerajaan terus membuktikan tekad reformasi dengan menzahirkan dasar yang lebih menghargai dan menyayangi bakat, agar setiap warganegara benar-benar dapat mengecapi layanan yang adil dan saksama,” kata Tan lagi.





