Di Konvensyen Pakatan Harapan di Johor Bahru pada 17 Mei 2026 lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, telah membayangkan bahawa pilihan raya umum lebih awal akan diadakan jika terdapat keretakan hubungan antara PH dan Barisan Nasional.
Kelihatannya beliau terbuka dalam hal ini. Maknanya, jika kerjasama diteruskan, maka Kerajaan Perpaduan juga boleh terus berfungsi. Jika sudah tidak boleh bersama, maka tiada jalan lain, iaitu gelanggang dibuka untuk bertarung.
Keadaan ini dinyatakan oleh Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, dalam ucapan di konvensyen itu dengan ungkapan, “Lawan pun boleh, kawan pun boleh.”
Dari awal lagi, apabila Kerajaan Perpaduan melibatkan PH dan BN ditubuhkan pada tahun 2022, disepakati bahawa demi kestabilan negara, kedua-dua gabungan itu perlu bekerjasama bukan sahaja dalam pentadbiran tetapi juga dalam pilihan raya.
Maka peluang itu terbuka apabila pilihan raya negeri diadakan di Negeri Sembilan, Selangor, Perak, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Terengganu pada tahun 2023. PH dan BN bertanding sebagai satu pasukan yang membolehkan mereka menubuhkan kerajaan negeri di Negeri Sembilan, Selangor, Perak dan Pulau Pinang.
Peluang ini kelihatan cerah kerana tidak akan berlaku pemecahan undi antara BN dan PH apabila berdepan dengan Perikatan Nasional.

Jadi, mereka sudah menemui formula untuk membolehkan PH-BN menang dalam pilihan raya umum akan datang yang boleh membawa Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri bagi penggal kedua. Sementara itu, calon BN pula berpeluang menjadi Perdana Menteri jika kerusi BN lebih banyak daripada PH.
Namun, krisis diraja Negeri Sembilan telah membawa kesan terhadap perkembangan politik. BN Negeri Sembilan menarik balik sokongan dan pihak mereka mahu menjadi Menteri Besar. Maknanya, pakatan PH-BN di Negeri Sembilan sudah berpecah.
Kemudian, BN Johor mengumumkan mahu bertanding solo di Johor. Maka tiada pilihan bagi PH selain bertanding solo dalam PRN Johor yang semakin hampir. Turut akan mengadakan PRN ialah Melaka, Pahang dan Perlis sebelum tempoh penggal kerajaan Persekutuan berakhir.
Ia terus disambut oleh PH Johor yang turut menyatakan akan bertanding solo. Ternyata kepimpinan UMNO pusat tidak dapat meyakinkan UMNO Negeri Sembilan dan UMNO Johor untuk terus bersama dalam pakatan PH-BN. Ini berlaku kerana UMNO Johor yakin mereka boleh menang majoriti dan menubuhkan kerajaan negeri, sementara UMNO Pusat pula tidak yakin bertanding solo di peringkat Persekutuan.

Sebenarnya, PH dan BN boleh sahaja bekerjasama di peringkat Persekutuan tetapi berlawan antara satu sama lain di peringkat negeri tertentu, seperti yang biasa berlaku di Sabah.
Namun, bagi Johor, BN yakin dapat menguasai majoriti kerusi bukan sahaja DUN tetapi juga Parlimen tanpa berpakat dengan PH. Pada 16 Mei lalu di Johor Bahru, UMNO meraikan ulang tahun penubuhannya yang ke-80 di kota kelahirannya, sesuatu yang bermakna bagi parti itu.
Namun, dalam menghadapi asakan ini, PH sebenarnya tiada pilihan lain kecuali mengisytiharkan akan bertanding solo juga di Johor, Negeri Sembilan dan Pahang.
Apabila berlaku persaingan tiga penjuru iaitu PH, BN dan PN, maka hasilnya kelak mungkin lebih kurang sama seperti keadaan sekarang. Di peringkat Persekutuan, PH akan menjadi gabungan yang mempunyai paling banyak kerusi, diikuti PN dan akhirnya BN. Namun, Kerajaan Perpaduan yang akan dibentuk mungkin berbeza.
Mungkin kerajaan yang dibentuk kelak tidak semestinya PH-BN, tetapi boleh jadi PN-BN. Jika PH-BN menjadi kerajaan, Anwar Ibrahim boleh menjadi Perdana Menteri semula. Namun, jika PN-BN menjadi kerajaan, boleh jadi Perdana Menteri datang daripada PAS. Walau bagaimanapun, kemungkinan lain juga boleh berlaku, seperti PH-PN atau PH-PAS. Kesemuanya tidak mustahil dalam politik kerajaan campuran.

Sungguhpun begitu, ada perkembangan baharu yang menyebabkan hasil PRU akan datang mungkin tidak akan sama seperti tahun 2022. Kini sudah ada Parti Bersama Malaysia. Walaupun parti ini belum teruji, ia hampir pasti akan memecahkan undi PH. Ada sahaja penyokong DAP dan PKR dalam kalangan orang Cina dan India yang tidak berpuas hati dengan DAP dan Anwar. Mereka tidak tergamak untuk mengundi PN atau BN. Jangkaannya, mereka hanya tidak keluar mengundi, dan itu secara tidak langsung memberi kemenangan kepada BN dan PN.
Namun, dengan adanya Bersama dan Rafizi Ramli yang sememangnya diminati oleh sebahagian penyokong PH dalam kalangan orang Cina, maka undi mereka akan pergi kepada parti berlambangkan kancil itu.
Maka, undi untuk PH pasti akan terjejas. Namun begitu, kali ini Anwar dan PH sudah menunjukkan prestasi memimpin. Perkara pertama yang besar ialah kestabilan. Perkara kedua ialah ekonomi. Perkara ketiga ialah kebajikan rakyat. Sudah tentu ada sebahagian rakyat yang tidak berpuas hati, bahkan dalam kalangan penyokong PH sendiri. Namun, ada juga yang walaupun tidak puas hati, tetap menyokong Anwar dan PH.

Dalam kalangan rakyat juga terdapat mereka yang berpuas hati atau sekurang-kurangnya melihat pencapaian pentadbiran Anwar sebagai sesuatu yang wajar dihargai dan telah melakukan yang terbaik. Mereka akan mengundi PH. Ini termasuk pengundi yang pada tahun 2022 mengundi BN atau PN.
Terhadap politik sentimen perkauman dan agama, ada satu perkembangan yang juga wajar diperhatikan. Jika PH-BN berpakat dalam satu platform, maka naratif “pembenci DAP” mudah dimainkan. Mereka bukan sahaja akan berkempen dengan menyatakan bahawa PH “ditunggangi DAP”, tetapi juga bahawa BN yang bersama mereka turut sama terikat.
Maka, para pengundi yang menolak DAP akan digesa supaya tidak mengundi PKR dan Amanah, malah juga UMNO.
Untuk itu, para pengundi yang menolak DAP hendaklah mengundi PN kerana tiada pilihan lain. Namun, apabila BN bertanding solo tanpa kaitan dengan DAP, maka golongan “pembenci DAP” mempunyai pilihan. Mereka tidak semestinya mengundi PAS dan PN. Mereka boleh memilih BN. Maknanya, undi “pembenci DAP” akan berpecah dan keadaan itu boleh menguntungkan DAP dan PH.
Satu lagi perkara ialah mengenai undi anak muda berusia 18 hingga 21 tahun. PH dari awal menuntut supaya golongan muda 18 hingga 21 tahun diberikan hak mengundi. Mereka percaya bukan sahaja pada hak mengundi itu, tetapi juga bahawa anak-anak muda ini akan menyokong pembangkang, khususnya PKR sebagai parti Reformasi, DAP sebagai parti pro-demokrasi dan Amanah sebagai parti Islam progresif.
Namun, perkara itu tidak berlaku. Kerajaan PH pada tahun 2018 yang mengusahakan supaya golongan muda dapat mengundi mendapati perkara sebaliknya berlaku. Parlimen meluluskan hak mengundi bagi golongan berusia 18 hingga 21 tahun pada tahun 2021 ketika PH sudah tidak berkuasa. Walaupun kebanyakan anak muda memihak kepada pembangkang pada tahun 2022, mereka bukanlah cenderung kepada fahaman progresif, sebaliknya memilih aliran konservatif. Keadaan ini bertambah ketara kerana golongan muda yang kurang memiliki nilai intelektual lebih mudah terpengaruh dengan sentimen populisme berasaskan kaum dan agama.
Itulah yang berlaku kepada PAS yang muncul sebagai parti terbesar memperoleh kerusi Dewan Rakyat dalam pilihan raya umum tahun 2022. Walaupun PAS bersama Bersatu dalam PN tidak dapat menandingi PH, ternyata golongan muda memilih PAS. Sebaliknya, Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang sepatutnya mewakili anak muda hanya menang satu kerusi. Parti itu menampilkan dirinya sebagai parti progresif dan bukannya konservatif.

Maka, kebangkitan konservatif atau Gelombang Hijau ini dipercayai akan meningkat dalam PRU akan datang. Anak muda yang mengundi PAS pada tahun 2022 tentu sudah melepasi kelompok usia itu, tetapi umumnya dipercayai kekal menjadi pengundi parti konservatif tersebut. Ini ditambah pula dengan golongan anak muda baharu yang pertama kali akan mengundi. Mereka dipercayai akan turut menyertai Gelombang Hijau bersama abang dan kakak mereka.
Dalam senario ini, tentulah PAS bertambah yakin mampu menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri sekali lagi, malah mungkin menjadi “king maker” atau calon mereka sendiri menjadi Perdana Menteri.
Namun begitu, PN bukanlah berada dalam keadaan baik. Ini kerana Bersatu telah mengalami perpecahan sementara hubungannya dengan PAS juga bermasalah.
Akibatnya, keyakinan penyokong Bersatu turut terjejas. Ada yang meninggalkan parti itu dan menyertai semula UMNO.
Jika PAS memperoleh majoriti, maka parti lain terpaksa menerima keputusan itu dalam semangat demokrasi. Namun, jika berlaku keperluan untuk membentuk kerajaan campuran, maka parti-parti yang terlibat terpaksa menelan semula segala kata-kata buruk yang dilemparkan terhadap pihak lawan. Oleh itu, ketika berkempen, berhati-hatilah dalam berkata-kata kerana pihak lawan itu boleh menjadi kawan politik selepas pilihan raya.
Perlu diingat bahawa negara ini memerlukan kestabilan untuk pembangunan dan kemajuan. Namun, sebahagian rakyat tidak menyedari kepentingan kestabilan ini.
Apabila berlaku ketidakstabilan kelak, barulah datang rasa kesal dan kecewa. Sebab itu, undi yang berpecah-pecah tidak akan mendatangkan kebaikan.
ZIN MAHMUD ialah seorang wartawan veteran dengan pengalaman lebih tiga dekad.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.





