30.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    Pemuda PAS seru anak muda dukung kebijaksanaan Hadi

    Shopee Sale

    Pemuda PAS menyeru seluruh ahli parti itu khususnya saf kepimpinan dan anak muda mereka agar istiqamah mendukung ketegasan serta kebijaksanaan Abdul Hadi awang dalam mengurus isu kerjasama dengan Bersatu.

    Ketuanya Afnan Hamimi Taib Azamudden menegaskan mereka juga perlu bersedia menerima sebarang keputusan lanjut hasil penelitian dan kajian Presiden PAS demi maslahat perjuangan dan kestabilan PN.

    “Pemuda PAS turut menegaskan komitmen untuk terus mempertahankan kebersamaan dalam PN serta menyokong segala usaha memperkukuhkan kerjasama strategik antara PAS dan Bersatu demi menghadapi PRU dan pilihan raya negeri (PRN) yang bakal menjelang,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

    Dia berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Abdul Hadi yang menegaskan PAS akan mengkaji semula kerjasama mereka dengan Bersatu dalam PN.

    Semalam, Ahli Parlimen Marang itu antara lain menjelaskan menjelaskan tindakan yang dibuat sekutunya itu dianggap membelakangkan PAS.

    Dia mendedahkan sepucuk surat diutus kepada Bersatu terkait langkah yang diambil Adun Bersatu di Negeri Sembilan menarik balik perakuan berkanun (SD) yang dianggap melanggar semangat setiakawan.

    Malah, katanya, alasan yang diberikan Bersatu di sebalik tindakan itu tidak boleh diterima sama sekali. Abdul Hadi juga menyorot konflik yang menjatuhkan menteri besar PAS di Perlis sebelum ini.

    Untuk rekod, rasa tidak puas hati turut dialami Bersatu dalam hubungan mereka dengan PAS. Misalnya keengganan PAS mengubah kedudukan dua bekas Adun Bersatu Kedah yang dipecat sebelum ini.

    Tumpuan secara kolektif

    Di sebalik tindakan Bersatu menyingkirkan Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, dan Abdul Razak Khamis (Sungai Tiang), kerajaan Kedah mengekalkan jawatan mereka, masing-masing sebagai exco dan timbalan speaker dewan undangan negeri.

    MENARIK:  Trump beri amaran pemimpin agung Iran takkan bertahan lama tanpa 'restu' AS

    Kelmarin Afnan Hamimi sendiri ‘melamar’ Dzowahir untuk menyertai PAS.

    Keberadaan PN ketika ini juga berubah apabila sebahagaian besar jawatan utama gabungan pembangan tersebut diisi oleh PAS, termasuk pengerusi yang disandang naib presiden parti itu merangkap Menteri Besar Terengganu, Ahmad Samsuri Mokhtar.

    Menurut Afnan Hamimi, Pemuda PAS memang menyokongan penuh kenyataan dibuat Abdul Hadi dan proses membina kesefahaman politik yang kukuh dan berprinsip perlu dilihat dalam “kerangka yang lebih besar” iaitu berasaskan perbincangan bersama dan hala tuju kolektif semua parti komponen PN.

    “Kenyataan presiden PAS yang menegaskan keperluan untuk mengkaji semula bentuk kerjasama dan hubungan politik dengan Bersatu merupakan satu pendirian yang wajar diberi perhatian serius oleh semua pihak.

    “Ia penting bagi memastikan agenda perjuangan PN terus diperkukuh dengan disiplin, kejelasan arah dan semangat kebersamaan yang tinggi,” katanya.

    Tambah Ahli Parlimen Alor Setar itu, Pemuda PAS juga menegaskan bahawa keutamaan ketika ini ialah memperkukuhkan perananan PN sebagai penyemak imbang paling kuat terhadap kerajaan.

    “Justeru, tumpuan seluruh pimpinan dan jentera parti seharusnya diberikan secara kolektif kepada usaha memperkukuhkan muafakat pembangkang serta menyusun strategi menghadapi cabaran politik mendatang, bukannya membuka ruang kepada polemik yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap PN,” kata Afnan lagi.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah