Pemuda PAS Selangor berdemonstrasi menyatakan sokongan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Shah Alam hari ini.
Perhimpunan itu diadakan ringkas 15 minit selepas solat Jumaat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam hari ini.
Dipimpin ketuanya Mohamed Sukri Omar, mereka membawa poster kuning bertulis “Daulat Tuanku” serta melaungkan slogan sama ketika sultan melangkah masuk ke kereta.

Sultan Sharafuddin sempat mengangkat tangan kepada mereka sebelum berangkat pulang daripada masjid.
Perhimpunan itu dibuat bagi menyatakan sokongan terhadap pendirian istana yang menolak penternakan babi secara menyeluruh di negeri itu.
Kontroversi itu kemudian melarat kepada isu Rukun Negara selepas bekas anggota parlimen DAP Tony Pua menyifatkan titah sultan terhad dalam sistem sistem raja berperlembagaan.
“Pemuda PAS Selangor akan terus berdiri di barisan hadapan mempertahankan kedaulatan institusi beraja daripada mana-mana kelompok yang gagal menghormati Perlembagaan Persekutuan dan tidak menghayati prinsip Rukun Negara,” katanya.
Minggu lepas, demonstrasi sama yang jauh lebih besar diadakan di depan bangunan pertadbiran negeri.





