Genap dua minggu selepas dipecat Bersatu, Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani, kelihatan diraikan PAS apabila dia – bersama pegawainya - hadir menyertai usrah yang dijalankan parti berkenaan malam tadi.
Malah pertemuan itu turut semacam menghantar mesej tertentu apabila Dzowahir diberikan senaskhah buku Perlembagaan PAS oleh ketua pemuda parti itu, Afnan Hamimi Taib Azamudden.
Afnan Hamimi yang juga Ahli Parlimen Alor Setar berkata Adun terbabit hadir selepas mendapat tahun PAS mengadakan usrah di kawasan Suka Menanti.
Malah menurut Afnan Hamimi, Dzowahir bersama pegawainya hadir di program bulanan berkenaan tanpa kelihatan kekok, malah kelihatan mesra dengan semua yang hadir.
Pada awal program berkenaan, kata Afnan Hamimi, dia memberikan penerangan mengenai PAS kepada Dzowahir serta pegawai Adun tersebut dengan menyerahkan buku perlembagaan mereka.
"Kebetulan YB mai (datang) malam ni, saya nak cerita tentang syarat-syarat nak jadi ahli PAS.
“Salah satu syaratnya kena aqil baligh. Syarat yang ni YB Dzowahir lulus awai (awal) lagi," kata Afnan Hamimi mengenai insiden mesra tersebut di Facebook.
Melalui naskhah perlembagaan parti itu, Afnan Hamimi berkata, dia menjelaskan tujuan PAS ditubuhkan.
Lebih menarik, apa yang dilakukan oleh Afnan Hamimi mendapat reaksi yang positif.
Saudara seakidah, seperjuangan
Kata Dzowahir, dia memang sudah lama mengenali PAS.
“Duk pakai kepiah (kopiah) putih ni pun lama dah,” katanya yang dipetik Afnan Hamimi.
Pada 8 Mei lalu, Lembaga Disiplin Bersatu memecat Dzowahir serta Adun Sungai Tiang yang juga Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Kedah, Abdul Razak Khamis.
Bersatu turut menggantung keanggotaan lima ahli parlimen mereka selama dua penggal iaitu Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah), Khalib Abdullah (Rompin), Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Nordin Ahmad Ismail (Lumut) dan Khlir Mohd Nor (Ketereh).
Bagaimanapun kerajaan Kedah dililhat mengambil sikap berhati-hati menguruskan pemecatan dua Adun terbabit apabila menteri besar, Muhammad Sanusi Md Nor, memberitahu kedudukan mereka akan diperincikan dan disembah maklum kepada Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah.

Sanusi berkata, sebarang tindakan berhubung perkara itu perlu melalui proses pentadbiran yang ditetapkan selain mendapat perkenan baginda.
Afnan Hamimi berkata Dzowahir merupakan Exco Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah dan sebelum ini menjadi Ketua Bersatu Alor Setar.
"Suka Menanti adalah satu DUN dalam Parlimen Alor Setar. Sebagai wakil rakyat dalam satu kawasan yang sama, sudah tentulah kami sering bertemu berbincang dan bergerak bersama untuk menyantuni rakyat yang memberi mandat kepada kami," katanya.
Bagaimanapun kata Afnan Hamimi, PAS memang tidak mencampuri urusan dalaman Bersatu dan hubungan mereka sebagai “saudara seakidah seperjuangan” kekal dan mesra seperti selalu.
“Terima kasih YB Dzowahir atas kehadiran. Borang PAS ada kalau nak ini. Bulan depan boleh mai usrah lagi,” katanya.





