30.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, May 23, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Amalan kerohanian dalam ruang awam

    Shopee Sale

    Ramai yang bertanya, “kenapa saya mengetengahkan amalan kerohanian Islam dalam ruang awam?” “Kenapa saya menggalakkan acara yang dikaitkan dengan amalan kerohanian tradisi Islam dalam program kerajaan?”

    Semua ini sebenarnya suatu ikhtiar yang kita tampilkan demi menjawab cabaran kemodenan atau modeniti yang semakin kuat mengasak kehidupan kita mutakhir ini. 

    Sejak awal abad ke-21 telah timbul pelbagai reaksi umat Islam terhadap cabaran dunia moden. Ada gerakan Islam modenis yang berhasrat mentafsir semula sebahagian ajaran Islam demi mendepani cabaran moden. Ada pula gerakan kebangkitan Islam yang terdiri daripada pelbagai aliran dengan matlamat yang berbeza seperti usaha pemurnian akidah dan kemenangan politik Islam. Semua gerakan ini memang timbul daripada dunia Islam sendiri tetapi sebahagiannya meminjam beberapa unsur daripada pemikiran dan sistem moden.

    Justeru sebab itulah tiada satu aliran pun yang benar-benar berupaya merungkai masalah lebih mendalam yang dihadapi umat dan dunia Islam. Buktinya? Cuba renungkan betul-betul keadaan umat dan negara Islam pada hari ini.

    Maka sebab itulah dalam pendekatan kita—selain meneruskan tradisi pengajian turath Islam, program keilmuan, menggalakkan pemahaman tentang ilmu tauhid dan fikah—kita turut perlahan-lahan memperkenalkan unsur-unsur kerohanian Islam seperti pengamalan zikir, dalail khairat dan selawat.

    Itu tidak lain dan tidak bukan kerana kita percaya bahawa sudah tiba masanya kita harus membina keteguhan dan kecekalan dari peringkat diri peribadi. Lantaran dewasa ini kita telah menyaksikan bahawa kerap kali terjadi banyak faktor peribadi telah menggagalkan usaha membentuk saf, barisan dan ketumbukan yang teguh dan cemerlang.

    Sebelum ini ramai yang percaya bahawa demokrasi sebagai sejenis sistem politik yang terbaik. Tetapi kini ramai yang mula sedar bahawa demokrasi ternyata tidak berupaya menyelesaikan masalah manusia. Natijahnya, ramai orang mula mencari penyelesaian lain. Sebagai jalan mudah ada yang beralih kepada politik perkauman dan agama. Ada pula yang mengambil pendekatan populis ekstrem yang berhasil membawa Donald Trump kembali ke Rumah Putih.

    Adakah bangsa Malaysia ingin mengambil jalan yang sama? 

    Kenyataan bahawa musuh demokrasi berjaya mengambil kesempatan atas kelemahan sistem demokrasi tidak pula bermakna kita perlu memilih sistem yang menafikan suara rakyat atau majoriti. Sebaliknya, kita perlu terus mempertahankan sistem demokrasi. Tetapi demokrasi kita harus disemai dan diperteguhkan dengan prinsip kemurnian jiwa dan hati. Lantaran kemurnian hati inilah yang akhirnya berupaya menjamin keadilan. Sementara keadilan pula tidak boleh disandarkan sepenuhnya pada sistem dan nilai yang berkembang pada zaman moden. Misalnya, terdapat lompong dalam sistem demokrasi moden untuk memilih seorang diktator seperti Trump yang menimbulkan huru-hara di seluruh dunia. 

    MENARIK:  Singapura bentuk pasukan petugas tangani kesan tarif Amerika

    Ini bermaksud, antara lain, rakyat sudah tidak mempercayai sistem demokrasi. Lantaran itu mereka pun beralih kepada seorang individu atau tokoh. Maka di sinilah letaknya kepentingan amalan kerohanian yang akan membawa kepada kemurnian hati dan penyucian akal. Kita perlu merencana ikhtiar bagi memastikan agenda melahirkan masyarakat berpengetahuan dan bermaklumat diperkasakan dengan nilai kemurnian hati dan akal. 

    Kerja musuh demokrasi

    Kita perlu menginsafi kenyataan bahawa musuh demokrasi hanya pandai membangkitkan nafsu amarah, menyemai kedengkian, menganyam kekeliruan, dan memanipulasi emosi rakyat. Tetapi tidak benar-benar berupaya malah memusuhi usaha berfikir demi menyelesaikan masalah rakyat. Kerana usaha berfikir itu menuntut sikap hemat dan cermat. Bukankah al-Quran menuntut supaya umat Islam menyemak kesahihan khabar berita dan sentiasa menyeru manusia supaya berfikir?

    Selain itu, kita perlu sedar bahawa masalah yang kita hadapi waktu ini bukan hanya kemurnian tauhid atau iman. Tetapi kita turut dirundung masalah kemurnian hati. Usaha pemurnian tauhid yang keterlaluan telah melahirkan sikap takfiri atau mengkafirkan golongan yang tidak sealiran hingga menyebabkan perpecahan dalam masyarakat. 

    Persoalannya, adakah usaha pemurnian akidah yang dilaksanakan selama ini menghasilkan natijah baik sepenuhnya? Tidak sepenuhnya. Kerana itu telah melahirkan sikap perkauman dan ekstremisme dalam masyarakat. Bahkan kita telah menyaksikan kegagalan demi kegagalan gerakan pan-Islamisme atau gerakan politik Islam di kebanyakan negara umat Islam.

    Maka pilihan lain bagi kita, sistem demokrasi di negara ini perlu bertunjangkan ilmu pengetahuan yang diperteguhkan dengan usaha pemurnian jiwa dan hati.

    Justeru amalan kerohanian yang diperkenalkan di negeri Selangor bertujuan menjadi pengimbang kepada segala kemajuan ekonomi dan kebendaan. Walau betapa hebat ekosistem dan urus tadbir, walau betapa cermat segala garis panduan pentadbiran, tetapi hampa daripada nilai kemanusiaan yang lahir daripada kemurnian hati maka itu tidak akan berupaya mengangkat darjat kita melainkan hanya melahirkan kecurangan-kecurangan baru.


    AMIRUDIN SHARI adalah menteri besar Selangor.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah