Penyanyi baharu, Athierah, tampil dengan single terbarunya berjudul ‘Berdiri’, sebuah karya yang membawa mesej tentang kekuatan diri, keberanian untuk bangkit semula serta semangat untuk terus melangkah walaupun diuji dengan pelbagai dugaan hidup.
Artikel Berkaitan: Kenny G Kembali Gegar Malaysia Menerusi Konsert ‘King Of Saxophone’ Pada 12 Julai Ini
Artikel Berkaitan: ‘Kami Akan All Out Di Konsert Kristal OG 25 Tahun Dalam Satu Malam’ – Lan Solo
Kolaborasi bersama Ajai

Bagi Athierah atau nama sebenarnya Nor Athierah Aqielah Nor Azman, ‘Berdiri’ bukan sekadar lagu biasa, sebaliknya karya ini mempunyai hubungan yang sangat dekat dengan perjalanan hidupnya serta pengalaman peribadinya sebagai seorang anak seni.
Menurutnya, sebaik sahaja mendengar melodi dan susunan muzik lagu tersebut buat pertama kali, dia terus merasakan keserasian yang kuat dengan karya berkenaan.
Bagi saya, lagu ‘Berdiri’ sangat istimewa sebab mesej yang dibawa memang dekat dengan diri saya.
Lagu ini banyak berkisarkan tentang kekuatan diri dan bagaimana kita bangkit semula selepas melalui pelbagai fasa dalam hidup.
Bila pertama kali dengar muzik dan melodi lagu ini, saya terus rasa bersemangat dan yakin lagu ini mempunyai sesuatu yang boleh sampai kepada pendengar.
Lebih menarik lagi, single ini turut memperlihatkan peluang kolaborasi Athierah bersama komposer serta penerbit terkenal, Ajai, yang disifatkannya sebagai satu pengalaman bermakna dalam perjalanan seninya.
Selain itu, sepanjang proses rakaman, Athierah mengakui banyak ilmu baharu yang dipelajari khususnya dalam aspek penyampaian emosi dan penghayatan ketika menyampaikan sesebuah lagu.
Bekerja dengan Uncle Ajai memang satu pengalaman yang saya akan ingat sampai bila-bila.
Banyak perkara yang saya belajar daripada dia, terutama tentang bagaimana untuk menyampaikan emosi dalam lagu dengan lebih jujur dan tepat.
Uncle Ajai juga sangat teliti ketika proses rakaman.
Kadang-kadang perkara kecil pun diberi perhatian supaya hasil akhirnya benar-benar memberi kesan kepada pendengar.
Dari situ saya belajar bahawa menyanyi bukan sekadar tentang vokal, tetapi juga tentang rasa dan jiwa.
Ingin mencabar diri

Mengimbas kembali perjalanan awalnya, Athierah berkongsi bahawa minat terhadap dunia nyanyian sudah wujud sejak zaman kanak-kanak lagi.
Namun, untuk berada pada tahap sekarang bukanlah sesuatu yang mudah kerana dia turut melalui pelbagai fasa jatuh bangun sebelum berpeluang merakamkan single sendiri.
Saya memang minat menyanyi sejak kecil lagi.
Dari dulu saya suka buat persembahan dan aktif dalam bidang seni.
Tapi untuk sampai ke tahap sekarang, saya lalui macam-macam pengalaman dan cabaran juga.
Jadi bila diberi peluang untuk merakamkan lagu ‘Berdiri’, saya rasa sangat bersyukur sebab ini merupakan peluang yang sangat besar buat saya.
Tambahan pula dapat bekerjasama dengan komposer hebat seperti Uncle Ajai, memang satu pengalaman yang cukup bermakna.
Dalam perkembangan lain, Athierah turut merancang untuk terus aktif menghasilkan karya baharu pada masa akan datang selain mahu mencabar diri dengan meneroka pelbagai genre muzik.
Di samping itu, dia juga melihat industri muzik masa kini semakin berkembang dan sangat kompetitif, sekali gus menjadikannya lebih bersemangat untuk terus belajar serta memperbaiki diri sebagai seorang penghibur.
Saya berharap dapat terus menghasilkan lebih banyak lagu selepas ini dan cuba pelbagai genre supaya saya boleh berkembang sebagai seorang artis.
Industri sekarang sangat kompetitif, jadi saya rasa penting untuk sentiasa belajar dan mencari identiti sendiri dalam muzik.
Selain bergiat aktif dalam bidang nyanyian, Athierah kini turut melanjutkan pengajian di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) dalam jurusan Teater.
Ujarnya, penglibatan dalam teater dan lakonan banyak membantu meningkatkan keyakinan diri, ekspresi emosi serta cara berkomunikasi di atas pentas ketika membuat persembahan.
Sekadar info, lagu ‘Berdiri’ terbitan Inisiatif Seni Kreatif (ISK) kini boleh didengar di semua platform digital, manakala muzik videonya boleh ditonton menerusi YouTube Indigital Music.
The post Athierah Pertaruh Lagu ‘Berdiri’, Angkat Mesej Kekuatan Diri – ‘Saya Lalui Pelbagai Cabaran’ first appeared on OHBULAN!.





