Pemimpin parti kerajaan melihat krisis yang sedang melanda gabungan pembangkang kini sebenarnya merupakan ujian besar kepada Ahmad Samsuri Mokhtar yang baru dilantik mengetuai PN dan ketua pembangkang.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata keretakan hubungan PAS dan Bersatu – yang kian terdedah dengan kenyataan terbuka Abdul Hadi Awang semalam – akan menjadi kayu pengukur kepada Ahmad Samsuri.
“Kemelut ini jadi acid test kepada Ahmad Samsuri. Kita akan melihat sama ada dia berjaya menyelesaikan krisis dalaman PN atau tidak,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.
Apa pun keputusannya nanti, tambah Faiz, ia akan menghantar suatu mesej kepada orang ramai terkait Menteri Besar Terengganu itu dan ia tetap tidak baik untuknya.
“Kegagalan menyelesaikan kemelut PN akan menjadi bukti bahawa keberadaan Ahmad Samsuri selaku Pengerusi PN sebenarnya adalah sebagai boneka sahaja kerana segala keputusan ditentukan oleh Abdul Hadi.
“Ia memberi isyarat bahawa dia seorang pemimpin yang lemah, lame duck chairman sahaja,” katanya.
Faiz berkata demikian sebagai mengulas pendedahan Abdul Hadi yang menegaskan PAS sedang mengkaji semula huhungan mereka dengan Bersatu ekoran timbul beberapa isu yang tidak disenanginya.
Semalam, Ahli Parlimen Marang itu antara lain menjelaskan banyak tindakan yang dibuat Bersatu dianggap membelakangkan PAS.
Retak dalaman kian besar
Antara isu yang disebut Abdul Hadi sebagai contoh ialah pertukaran Menteri Besar Perlis – daripada Adun PAS kepada Bersatu – dan gagalnya cubaan menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan.
Abdul Hadi, 78, juga membangkitkan isu Bersatu tiada jentera pilihan raya di sebalik kemahuan mereka meletak ramai calon.
Kata Abdul berkata alasan yang diberikan Bersatu di sebalik tindakan mereka tidak boleh diterima sama sekali. Justeru katanya PAS akan mengajar parti itu “satu per satu.”
Mengulas lanjut Faiz berkata jika Ahmad Samsuri sebaliknya dapat redakan ketegangan hubungan PAS dan Bersatu, dia berpotensi dilihat sebagai menyanggah keputusan Abdul Hadi.
“Sebab itulah sejak awal lagi saya telah tegaskan bahawa presiden parti yang perlu mengetuai sesuatu gabungan, jika tidak ia bukan satu persefahaman yang stabil.
“Dalam keadaan keputusan PN ditentukan oleh Presiden PAS sebagai de facto leader kepada PN, maka PN akan bergerak sebagai sebuah gabungan konservatif yang sarat dengan pemikiran politik kebencian, sentimen dan penunggang agama.
“Lebih teruk daripada itu, rakyat akan melihat bahawa PN bukanlah gabungan yang stabil dan seterusnya tidak mampu untuk mentadbir negara,” dakwanya lagi.

Dalam perkembangan sama Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Danial Al-Rashid Haron Aminar Rashid, pula berpendapat pendedahan Abdul Hadi semalam jelas memperlihatkan realiti sebenar bahawa keretakan dalam PN kian membesar.
Di sebalik semua itu, dakwanya, wujud rasa saling tidak percaya antara satu parti dengan parti lain.
“Mereka lebih menumpukan perhatian kepada perebutan pengaruh dalaman dan kuasa berbanding membincangkan masa depan rakyat,” katanya.
Dia mendakwa, realiti pahit yang semakin sukar disembunyikan ialah PAS sendiri mula menerima hakikat bahawa Bersatu sekadar menumpang kekuatan jentera dan pengaruh mereka.
Masih berketuakan Azmin
Keadaan itu, katanya, menunjukkan PAS sedang menanggung ‘biawak hidup’ namun terpaksa dipertahankan demi untuk memberikan gambaran kononnya PN sebuah gabungan yang stabil.
“Di Selangor misalnya, semua tahu PAS begitu mengharapkan peluang untuk mengambil alih jawatan Pengerusi PN Selangor sekali gus mengetuai blok pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.
“PAS mungkin boleh menunjukkan bahawa mereka mampu memimpin dan menggerakkan pembangkang dengan lebih tersusun menjelang sidang DUN akan datang.
“Namun akhirnya PAS tetap terpaksa menerima hakikat bahawa ketua mereka masih Azmin Ali.
“Ini membuktikan bahawa dalam PN sendiri wujud ketidakyakinan sesama sendiri, walaupun masing-masing cuba menampilkan imej kononnya paling kuat dan paling dominan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Adun Batu Tiga itu turut mencadangkan agar Pesuruhjaya PAS Selangor, Abd Halim Tamuri, segera menggerakkan pasukannya dengan lebih aktif, termasuk Ketua Pemuda PAS Selangor, Sukri Omar serta Ketua Penerangan PAS Selangor, Yusfarizal Yussof.
Setakat ini, katanya, usaha mereka masih belum cukup kuat untuk meyakinkan rakan gabungan dalam PN bahawa PAS Selangor benar-benar bersedia memimpin di negeri tersebut.
“Persoalannya mudah, adakah PAS Selangor masih belum layak diberikan kepercayaan, ataupun anak-anak buah sendiri gagal memainkan perananan dengan baik?
“Inilah yang sedang berlaku dalam pembangkang hari ini.
“Ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup, cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan geopolitik dunia, mereka masih sibuk mengira jawatan, menyusun pengaruh dan bergelut sesama sendiri,” katanya.

Di sebalik pertelagahan dalam PN itu, menurut Danial, blok kerajaan pula terus fokus bekerja, membincangkan soal pertumbuhan ekonomi, menangani cabaran krisis global, memperkukuh pelaburan negeri serta memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
“Saya cukup yakin ekonomi Selangor akan terus berkembang meskipun dunia sedang berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan ekonomi antarabangsa.
“Selangor telah membuktikan kekuatan asas ekonominya apabila merekodkan sumbangan sebanyak 26.2 peratus kepada KDNK negara pada tahun 2024, sekali gus kekal menjadi penyumbang terbesar ekonomi Malaysia.
“Dengan kekuatan sektor perkhidmatan, industri pembuatan, ekonomi digital dan keyakinan pelabur yang masih tinggi terhadap Selangor, saya percaya negeri ini mampu mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik dalam tempoh mendatang,” jelasnya.





