Dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dijadual melepaskan jawatannya pada 12 Mei ini, Ketua Biro Undang-undang Wanita DAP Sangeet Kaur Deo menegaskan bahawa perubahan kepimpinan tidak boleh dijadikan alasan untuk berdiam diri.
Dia berkata pelantikan ketua SPRM baharu bukan kad "bebas dari penjara" bagi siasatan yang belum selesai.

“Sejak peralihan kepimpinan, kerajaan Madani dilihat membisu berhubung dua kontroversi besar - dakwaan pemilikan saham Azam dan laporan ‘mafia korporat’.
“Wajah baharu di peringkat atasan tidak boleh memadamkan kerosakan institusi yang mendalam yang diwakili oleh isu-isu ini,” tambahnya.
Sangeet menarik perhatian bahawa walaupun sebuah jawatankuasa telah ditubuhkan untuk menyiasat perkara itu dan menyiapkan kerjanya, hasil dapatan masih belum didedahkan.
“Kita sedang berhadapan dengan dakwaan serius mengenai salah laku peribadi dan rasuah sistemik. Sehingga kini, tiada kemas kini bermakna tentang siasatan itu, jika ada, apa sebenarnya siasatan tersebut.
“Akauntabiliti tidak boleh dirunding. Kami menggesa kerajaan mendedahkan hasil dapatan jawatankuasa itu dengan segera,” katanya.

Dia juga memberi amaran bahawa penangguhan lanjut berisiko mencetuskan persepsi bahawa pelantikan baharu digunakan sebagai perlindungan untuk menutup kebenaran.
Kenyataan Sangeet dibuat sejurus selepas abangnya, piaitu Pngerusi DAP Gobind Singh Deo, mendesak Ketua Polis Negara Khalid Ismail untuk memaklumkan kemas kini siasatan terhadap dakwaan “mafia korporat”.
Skandal “mafia korporat” tercetus susulan laporan Bloomberg pada 12 Feb mendakwa pegawai SPRM bersubahat dengan ahli perniagaan untuk mengatur pengambilalihan korporat. SPRM menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai komplot untuk memburukkan imejnya.
Mengenai isu berasingan kontroversi pemilikan saham Azam, jurucakap kerajaan Fahmi Fadzil pada 15 April memaklumkan bahawa kabinet memutuskan untuk menyerahkan perkara itu kepada Ketua Setiausaha Negara Shamsul Azri Abu Bakar untuk mengambil sebarang tindakan perlu.

Pada 25 April, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim memberi perkenan terhadap pelantikan bekas hakim Abdul Halim Aman sebagai ketua pesuruhjaya SPRM baharu bagi menggantikan Azam, yang tempoh perkhidmatannya telah dilanjutkan sebanyak tiga kali di bawah Perdana Menteri Anwar Ibrahim.





