Kerajaan bersetuju untuk membayar wang pendahuluan RM200 sehektar iaitu sebahagian daripada kadar Bantuan Khas Insentif Pembajakan kepada 240,000 pesawah berdaftar di seluruh negara bagi mengurangkan bebanan mereka.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata inisiatif itu, yang dipersetujui pada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini, akan melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM48 juta.
“Ini kerana mereka terpaksa sewa mesin pembajakan... jadi, program pembajakan itu mesti diteruskan tetapi mereka perlukan modal.
“Oleh itu, kita berpendapat lebih baik diberikan pendahuluan RM200 supaya mereka boleh terus bergerak menjalankan kegiatan penanaman padi,” kata beliau pada sidang media Krisis Bekalan Global di Putrajaya hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, juga berkata kerajaan amat prihatin terhadap cabaran semasa yang dihadapi pesawah susulan kenaikan kos bahan api dan input pertanian berikutan konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri berkata setiap keluhan pesawah sentiasa didengari Kerajaan Madani yang menyalurkan bantuan khas melalui Insentif Pembajakan Kepada Pesawah seperti diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu pada 14 April lepas.
“Saudara Mohamad Sabu (umumkan bantuan) ditingkatkan daripada RM160 kepada RM300 sehektar untuk membantu pesawah ekoran kenaikan harga diesel komersial,” katanya.
Anwar juga berkata kerajaan akan terus mencari ikhtiar bagi meringankan beban dan kos yang dihadapi rakyat ketika negara berdepan krisis bekalan global.





