Ahli Parlimen Bachok Syahir Sulaiman hari ini membidas cadangan sayap pemuda DAP untuk membangunkan model 'ekonomi-konsert' dengan menyifatkannya sebagai satu langkah ke belakang yang hanya mengundang budaya negatif.
Setiausaha politik kepada Presiden PAS, Abdul Hadi Awang itu berkata, cadangan tersebut mencerminkan pemikiran yang dangkal kerana lebih mengutamakan keuntungan jangka pendek berbanding kesan sosial kepada negara.

"Maka tidak wajar aktiviti pelancongan mengundang budaya ‘hedonisme’, konsert liar, mabuk, dadah, serta aksi ‘erotik’ melampau; yang banyak berlaku di tempat mereka.
"Di sebalik hasil yang dikaut, terselindung kos kesihatan, keselamatan, ketenteraman, dan ‘kos ekonomi’ yang akhirnya terpaksa ditanggung oleh masyarakat serta negara," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Tekanan fanatik
Semalam, Penasihat DAP Lim Guan Eng memaklumkan Rave Water Festival 2026 berjaya meraih hasil RM200 juta yang menurutnya akan membantu peniaga kecil dan memberi publisiti positif kepada Malaysia sebagai destinasi pelancongan selamat serta menawarkan hiburan sihat.
Kejayaan ini jelas Ahli Parlimen Bagan itu, membuktikan keazaman Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing untuk tidak tunduk kepada “tekanan fanatik” dalam melaksanakan program Tahun Melawat Malaysia 2026.

Dia juga menyelar kritikan yang disifatkan sebagai ekstrem oleh pemimpin BN dan PN terhadap acara tersebut.
Dalam pada itu, Syahir turut mempersoalkan kesahihan angka keuntungan jutaan ringgit yang dicanangkan oleh pihak penganjur sebelum ini dengan menyifatkannya sebagai "tidak dapat disahkan" (unverified).
Dia mendakwa model ekonomi tersebut membawa lebih banyak kemudaratan terhadap institusi keluarga dan generasi muda di Malaysia.
“Jangan sampai mengejar untung secupak, akhirnya rugi segantang.
“Sekira-kira pertimbangan kami, cadangan DAP ini lebih banyak membawa kesan negatif (mudarat) terhadap negara, institusi keluarga, dan generasi muda,” katanya.
Bro DAPSY, ada berani?
Sebagai susulan, setiausaha politik kepada presiden PAS itu mencabar kepimpinan Pemuda Dap untuk berhadapan dengannya dalam satu sesi perdebatan terbuka bagi menghentikan polemik berkenaan.
"Sayugia bagi mengelakkan polemik ini terus berlarutan, moleklah perkara ini diperdebatkan secara terbuka.
"Cadangan tajuk: 'Ekonomi-Konsert: Membina atau Meruntuh Negara?'. Bro DAPSY, ada berani?" soal Syahir lagi.
Rave Water Festival 2026 berlangsung selama tiga hari di Bukit Bintang, Kuala Lumpur, pada hujung minggu lalu.

Acara itu dilaporkan berjaya menarik 180,000 pengunjung dan menjana sehingga RM200 juta hasil keseluruhan pelancongan.
Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Negeri Malaysia (Mita), Mint Leong berkata festival yang berlangsung dari 30 April hingga 2 Mei itu turut mencatat 1.4 bilion klik di platform media sosial global.
Festival Rain Rave Water Music 2026 dianjurkan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya sebagai sebahagian daripada Tahun Melawat Malaysia 2026.
Ia dipromosikan sebagai gabungan unik muzik, air dan elemen hiburan moden.
Hujan dijadikan sebahagian daripada pengalaman festival, bersama persembahan muzik, pencahayaan dan elemen interaktif yang direka untuk mewujudkan suasana menarik kepada pengunjung.





