Sekadar ahli perniagaan dan tidak lagi terbabit dalam politik - itu penegasan diberikan bekas pegawai Anwar Ibrahim, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung dakwaan yang dikaitkan dengannya baru-baru ini.
Bekas setiausaha politik kepada Presiden PKR itu memberitahu dia tidak terlibat dengan kegiatan mencuri wang, mengubah wang haram atau menjadi warganegara asing.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini Farhash berkata dia mengesyaki tuduhan yang dikenakan ke atasnya didalangi pihak tertentu yang berniat tidak baik.
Malah dia menganggap tuduhan yang dikaitkan itu adalah sangat serius.
"Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terbabit dalam politik sekarang.
"Saya langsung tidak mengetahui mengapa saya diheret ke dalam perkara ini, melainkan bahawa individu-individu tersebut mempunyai niat sebaliknya untuk meraih kepentingan politik," katanya yang dipetik BH Online.
Baru-baru ini muncul satu klip video memaparkan perbualan seorang ahli perniagaan dikenali sebagai Sofia Rini Buyong dengan individu lain - dipercayai Albert Tei - yang membuat dakwaan serius.
Tei merupakan seorang individu yang sebelum ini menarik perhatian ramai berhubung dakwaan terlibat dalam kegiatan rasuah dengan sejumlah ahli politik dan orang kenamaan di Sabah.
Serah kepada pihak berkuasa
Sofia sendiri merupakan salah seorang saksi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyiasat dakwaan salah laku Tei dengan seorang lagi bekas pegawai kanan Anwar iaitu Shamsul Iskandar Md Akin.
Dalam klip itu Sofia mendakwa seseorang yang bernama "Anwar" memberitahu seorang yang lain bernama "Farhash" untuk melarikan sejumlah besar wang ke Afrika.
Ia mendorong beberapa pihak mendesak agar dakwaan dibuat Sofia itu disiasat. Antaranya ialah parti Pejuang.
Ketua penerangan parti itu, Muhammad Rafique Rashid Ali, menggesa pihak berkuasa menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Sofia dan mengeluarkan notis di bawah Seksyen 36 Akta SPRM 2009 terhadap Anwar dan Farhash.
Seksyen itu memberi kuasa kepada SPRM memaksa seseorang mengisytiharkan aset mereka atau berdepan dengan tindakan undang-undang jika gagal mematuhi notis tersebut.
Jika sabit kesalahan, seseorang boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda sehingga RM100,000.

Anwar sendiri menafikan dakwaan tersebut dan meminta pihak yang membuat tuduhan agar mengemukakan bukti.
Menurut Farhash, dia juga tidak memiliki kewarganegaraan Turki seperti yang didakwa, atau memiliki akaun bank di negara tersebut.
Pada masa sama Farhash berkata penyebaran rakaman video tersebut adalah tidak bertanggungjawab dan berpotensi melanggar undang-undang.
"Sehubungan itu, saya telah membuat laporan polis dan menyerahkan perkara ini kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut di bawah peruntukan undang-undang yang berkaitan, termasuk Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
"Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini," katanya lagi.
Dia turut meminta peguamnya untuk memfailkan tindakan undang-undang terhadap pihak yang terbabit dalam menyebarkan tuduhan berkenaan.





