24.7 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 6, 2026
IKLANShopee SaleShopee Sale
More

    Artikel Terkini

    ULASAN | Khianat, derhaka dan politik Sarip Dol

    Shopee Sale

    Jelaslah Umno Negeri Sembilan telah melakukan langkah sumbang dan berlebihan di muka gerbang Istana Besar Seri Menanti.

    Tindak-tanduk mereka sangat menjurus kepada makna sebuah penderhakaan, terutama apakala siap-siap pula bersekongkol dengan Adun Perikatan Nasional (PN) yang dalam kurang 24 jam sempat sahut-menyahut hendak mendirikan kerajaan baharu. Kalau ini bukan plot terancang, terlalu naiflah pihak-pihak yang terlibat di dalamnya.

    Meski tidak berada di belahan politik mana-mana, Raja-raja Melayu tidaklah sebodoh itu. Barang diingat, baik Umno, Bersatu dan Pas ialah “parti Melayu”, dan, merekalah yang selama ini konon ceritanya paling kuat melaungkan “hidup Melayu!” dan “Allahuakhbar!” Tapi apa ertinya?

    Di sebalik dokumen hitam-putih tentang adat, undang-undang tubuh kerajaan negeri dan perlembagaan, jiwa Melayu sebenarnya adalah hal yang tidak kelihatan tapi sangat releven dalam kehidupan seharian kita.

    Dalam segala keadaan dan alasan, orang Melayu tidak akan rela menerima pihak penderhaka - apatah lagi oleh mereka yang bertangguk di air keruh untuk kepentingan sempit politik dan jawatan lebih tinggi.

    Sejak zaman PM Mahathir Mohamad, dialah yang membenam doktrin dengan menuding parti seperti Keadilan tidak tahu bersetia kepada raja dan negara. Dalam kerja buat nyata, terlihat orang-orang dengan pola fikir Mahathirisme di kalangan parti-parti Melayu itulah yang sering mengata dulang paku serpih.

    Kalau raja pun boleh diperlakukan demikian rupa, bentuk-bentuk perjanjian lain apatah lagi. Rekod Bersatu dan Pas sangat menjolok mata; yang memang dalam sejarahnya gemar berkhianat dan kerja atap menebuk atap.

    Kes di Perlis beberapa bulan lalu menunjukkan Bersatu-Pas bertebuk sesama sendiri. Peristiwa tebuk atap paling agung di negara ini tidak lain ialah dengan apa yang diingati sebagai “Langkah Sheraton”, pada Februari 2020.

    Benarlah, sekali mencuri akan selalu ketagih mencuri, dan; sekali khianat akan selamanya ketagih berkhianat. Lagi dan lagi…

    Perangai Umno Negeri Sembilan pastinya bukan sahaja dipantau oleh Istana Seri Menanti, tapi ikut diperhati oleh semua kedelapan Istana di negeri-negeri yang lain. Maka, bagaimana sebuah parti yang diriwayatkan lahir di tangga istana boleh memboloskan Adunnya memerun api sehingga asap pedihnya masuk ke dalam istana pula?

    Sikap suka mengaib dan menjatuhkan martabat orang sebeginilah yang mencetuskan gelombang besar kebangkitan rakyat membentuk Reformasi 1998. Bencinya Melayu terhadap Inggeris juga kerana peranangai penjajah yang sampai ke tahap mempermalukan para pembesar dan raja-raja Melayu demi membolot kuasa dan kekayaan negeri kita.

    Selepas kenyataan media Umno pusat pada 29 April lalu, keadaan sedikit mereda. Tapi selang beberapa hari di dalam sambutan 80 Tahun Umno, Pengerusi Umno Negeri Sembilan kembali tak ketahuan hala menyimbah bansin di atas bara. Dengan nada defensif dan bersikeras, dia sebenarnya sedang memperlihatkan wajah sejatinya di depan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

    Tanpa terduga, segelintir Umno yang tidak diundang ikut tersampuk, menyampuk. Ada yang baru diterima kembali ke dalam parti membentang teori konspirasi konon pimpinan Keadilan sendiri yang mahu menjatuhkan MB Aminuddin Harun disebabkan Aminuddin bukannya orang presiden. Begitulah fitnah direka-reka sebelum tular lebih laju dari cahaya.

    Keadilan tidak perlu menyuap makanan dengan memutarkan tangan sampai ke belakang kepala untuk masuk ke mulut. Dinamika dalam Keadilan boleh diurus secara dalaman, dengan tidak perlu konspirasi dangkal sampai mengganggu tugas presiden yang juga perdana menteri.

    MENARIK:  Loke tak payah layan hujah Wee, MCA dah kalah - Teng

    Kalau ditatal di media sosial, sejak BN menarik sokongan terhadap MB Aminuddin, pertahanan Keadilan-PH segera kembali solid dan ampuh. Salut juga kepada Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke yang sejak awal berfikiran jernih untuk bersetia di atas prinsip Raja Berperlembagaan.

    Menyedari kemarahan orang Melayu, ketua pembangkang PN yang juga Adun Labu mengeluarkan kenyataan untuk bersikap berkecuali. Keputusan itu berbeza daripada kenyataan awal PN yang mahu membentuk ‘kerajaan Melayu’ bersama Umno-BN.

    Sampai kiamat pun, sikap kong-kali-kong PN ini tidak akan mewujudkan sebuah pentadbiran yang stabil. Mereka boleh sorong-tarik tunggang-terbalik bila-bila masa. Kerajaan mana pun yang dibentuk bersama PN, takkan selamat.

    Sangat menghampakan apabila di saat krisis tenaga global dan negara mula terasa bebannya, Umno Negeri Sembilan galak bermain intrik belakang pintu. Di atas drama inilah terdengar cocok sekali nyanyian Broery Marantika dalam lagu lama yang berjudul, “Mungkihkah”:

    Di lembah yang berlumpur dan bernoda

    Di sanalah kini engkau berada

    Mengapa oh mengapa

    Aku tak percaya.

    Dulu pernah aku mengkagumi mu

    Sekarang pun tetap mengharapkan mu

    Mengapa oh mengapa

    Tak perlu bertanya.

    Politik dwi-wajah sepertimana yang dilakukan dengan sebelah tangan bersalaman, tapi sebelah lagi memegang kerambit sebenarnya amat mudah dibaca.

    Sia-sia sahaja kerajaan perpaduan Negeri Sembilan konon “dipertahan bagai nak mampus”, tapi rupa-rupanya ada yang menunggu kesempatan untuk menerkam sambil menimbus kenyataan yang kerajaan perpaduan ini berdiri atas titah Yang Dipertuan Agong jua! Pengkhianatan sama ada di awal atau di tengah perjalanan, tetaplah sebuah penderhakaan.

    Faham Mahathirisme dengan pola fikir “tiada musuh dan kawan yang kekal” takkan memuliakan politik Melayu umumnya. Bagi anak bangsa dengan jiwa Melayu kental, jawapan kepada politik Mecellavian itu tersimpul dalam pepatah “buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali”.

    Adalah lebih bermaruah dengan kurangkan musuh dan tambahkan kawan; daripada sekedar berputar-putar bertukar-ganti kawan dengan lawan, lawan dengan kawan sampai akhirnya kerja hanya cuma-cuma.

    Namun menjadi adat manusia, sekemas apa pun rambut setiap kali disisir, sampai waktunya memang ada tempat yang panjang menyongkor, kusut dan menyocok-nyocok. Ada yang perlu dipangkas dan diperkemaskan. Terpulanglah kalau benar mahu menjadi pejuang bangsa, atau, sekedar setahap Sarip Dol samseng Kampung Dusun.

    Versa akhir lagu Brorey tadi mengingatkan betapa tiada siapa yang dapat menyelamatkan diri kita, kecuali, diri kita [atau sesuatu bangsa itu] sendiri yang berusaha mengubah nasibnya. Begini:

    Sampai kapankah engkau harus begini

    Mungkinkah engkau ingin terus begini

    Mengapa oh mengapa

    Aku tak percaya.


    HASMI HASHIM ialah seniman dalam bidang seni lukis, lirik lagu dan puisi, selain seorang penggiat parti politik.

    Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

    Latest Posts

    IKLANShopee Sale

    Mesti Baca

    Follow Facebook Portal Barang Murah