Mahkamah Sesyen hari ini membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan pertama dihadapi bekas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkaitan kes rasuah projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut bernilai RM6.3 bilion.
Hakim Azura Alwi yang membuat keputusan itu berkata mahkamah berpandangan pindaan tersebut perlu bagi memastikan pertuduhan itu selaras dengan peruntukan undang-undang di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.
"Walaupun pindaan tersebut hanya dikemukakan pada peringkat akhir kes pihak pendakwaan, mahkamah berpandangan perkara tersebut tidak akan memprejudiskan dan mendatangkan sebarang ketidakadilan terhadap OKT (orang kena tuduh)," katanya.
Selain itu, Azura berkata pihak-pihak mempunyai hak di bawah Seksyen 162 Kanun Tatacara Jenayah untuk memohon memanggil semula mana-mana saksi yang wajar berikutan pindaan kepada pertuduhan tersebut.
"Oleh itu, mahkamah membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk meminda pertuduhan itu selaras dengan Seksyen 158 Kanun Tatacara Jenayah," katanya.
Pada 20 April lepas, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan kepada mahkamah bahawa pindaan itu melibatkan pengguguran perkataan “menerima” dalam pertuduhan pertama.
Bagaimanapun, peguam Ramkarpal Singh yang mewakili Lim membantah permohonan itu dan menegaskan bahawa elemen penerimaan adalah penting dan sekiranya perkataan itu dikeluarkan ia akan memprejudiskan pihak pembelaan.
Prosiding hari ini diteruskan dengan Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat SPRM, Zulhilmi Ramli, yang merupakan saksi pendakwaan ke-38, memberikan keterangan di mahkamah.
Berdasarkan pertuduhan pindaan, Lim, 65, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk suapan bagi dirinya wang berjumlah RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik bekas Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai kira-kira RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.
Bagi pertuduhan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.





