PARLIMEN | Empat ahli parlimen PKR hari ini mempersoal keputusan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) melantik firma juruaudit bebas bagi mengaudit Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia Bhd (HRD Corp).
Dalam satu sidang media bersama, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim bersama-sama William Leong (Selayang), Wong Chen (Subang) dan Chiew Choong Man (Miri) berkata, tindakan Kesuma itu membuka ruang kepada mana-mana pihak mempertikai Laporan Ketua Audit Negara (LKAN).
Meminta penjelasan daripada Kesuma berhubung langkah tersebut, ahli parlimen terbabit berkata mereka berasa gusar terhadap kesan yang akan datang.
"Kami ingin meminta kementerian menjelaskan bahawa juruaudit bebas itu tidak berada di situ (HRD Corp) untuk memberikan pandangan kedua atau untuk menilai semua hasil LKAN, sebaliknya hanya untuk mencadangkan kaedah-kaedah, dokumentasi dan prosedur tatakelola yang lebih baik.
"Kami juga bimbang dengan laporan beberapa berita yang menyampaikan mesej bahawa laporan tersebut tidak perlu diterima atau dipersetujui oleh agensi-agensi kerajaan, dan agensi-agensi ini bebas untuk melantik dan mendapat pandangan pihak ketiga.
"Ini akan membuka peluang kepada kementerian-kementerian dan agensi kerajaan lain mempertikai LKAN dan melemahkan Ketua Audit Negara," kata Hassan.
Kelemahan dalam akta
Pada 10 Jul lalu, Kesuma dilaporkan mahu melantik juruaudit profesional bagi mengaudit HRD Corp demi menjamin ketelusan badan tersebut.
Menterinya Steven Sim berkata langkah itu diambil susulan pendedahan dibuat LKAN dan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung operasi HRD Corp dari 2019 hingga 2023.
Sim berkata Kesuma diarah menjalankan audit itu akan meneliti segala proses, prosedur, dokumentasi dan kepatuhan terhadap undang-undang, serta sebarang garis panduan berhubung isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN dan PAC.
Kelmarin bekas Ketua Pegawai Operasi HRD Corp Ariff Farhan Doss berkata dia pernah cuba bertemu dengan sekurang-kurangnya dua menteri sumber manusia untuk memaklumkan mereka mengenai isu di agensi terbabit tetapi "dihalang".
Bercakap kepada Malaysiakini, Ariff - yang dipecat pada Mei lalu - berkata walaupun menjadi orang kedua terpenting dalam badan tersebut dia tidak dijemput untuk menghadiri mesyuarat dengan menteri.
Sebelum mengadakan sidang media hari ini, Hassan berkata, dia serta Leong, Wong dan Chiew mengadakan pertemuan dengan Ariff di parlimen bagi mendapatkan maklum balas berhubung HRD Corp.
"Kami juga dimaklumkan mengenai kelemahan-kelemahan dalam Akta Pembangunan Sumber Manusia Berhad 2001 yang merupakan punca kelemahan-kelemahan tersebut.
"Ia termasuk Seksyen 50 Akta PSMB mengenai kuasa mutlak menteri dan pemusatan kuasa ketua eksekutif yang juga merupakan ahli lembaga pengarah HRD Corp dan ahli panel pelaburan," katanya lagi.





