Mahkamah Rayuan hari ini menangguhkan pendengaran rayuan difailkan tiga peguam termasuk Zaid Ibrahim untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak saman fitnah mereka terhadap Badan Peguam Malaysia.
Ini berikutan seorang daripada anggota panel hakim Latifah Mohd Tahar menarik diri daripada mendengar kes itu.
Pada permulaan prosiding, Latifah memaklumkan suaminya Azmi Mohd Ali merupakan ahli Majlis Peguam dan bertanya peguam terlibat dalam rayuan itu jika mereka mempunyai sebarang kebimbangan mengenai penglibatan dia untuk mendengar kes tersebut.
Dua lagi hakim yang menganggotai panel itu ialah Choo Kah Sing dan Faizah Jamaludin.
Peguam Ashok Kandiah yang mewakili Zaid, Liew Teck Huat dan Rueben Mathiavaranam serta peguam Badan Peguam Malaysia Andrew Chiew Ean Vooi memohon penangguhan singkat untuk mendapatkan arahan daripada anak guam mereka.
Selepas prosiding kembali bersambung, kedua-dua peguam itu memaklumkan panel bahawa mereka tidak meragui kesaksamaan Latifah dalam mendengar rayuan tersebut.
Bagaimanapun, Ashok berkata adalah lebih baik sekiranya dia menarik diri bagi mengelakkan sebarang persepsi.
Chiew berkata Badan Peguam Malaysia bersetuju dengan perkara itu dan menambah bahawa keadilan bukan sahaja perlu dilaksanakan, tetapi juga perlu dilihat telah dilaksanakan.
Susulan itu, Choo berkata mereka tidak dapat mendengar rayuan itu hari ini disebabkan kekurangan korum dan menetapkan 13 Julai sebagai pengurusan kes untuk menetapkan tarikh pendengaran baharu di hadapan panel yang berbeza.
Pada 29 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi menolak saman difailkan Mohd Zaid, Liew dan Rueben terhadap Badan Peguam Malaysia dan bekas presidennya Karen Cheah Yee Lynn atas alasan mereka gagal untuk membuktikan kenyataan tersebut adalah memfitnah.
Menerusi saman difailkan pada 30 Sept 2022, tiga plaintif itu mendakwa kenyataan dikeluarkan Cheah semasa mereka mengendalikan rayuan oleh bekas Perdana Menteri Najib Tun Razak dalam kes dana SRC International Sdn Bhd, antaranya bermaksud mereka menyalahgunakan proses mahkamah.
Pada 26 Julai 2022, Najib melantik ZIST untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan selepas menamatkan perkhidmatan Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta.
Bagaimanapun, Najib menamatkan perkhidmatan ZIST pada 19 Ogos 2022.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Bekas anggota parlimen Pekan itu pada mulanya dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta namun petisyen bagi mendapatkan pengampunan diraja yang difailkannya pada 2 Sept 2022 membawa kepada pengurangan hukuman penjara menjadi enam tahun dan denda RM50 juta.





