PRN JOHOR l Parti Sosialis Malaysia (PSM) menuntut penjelasan segera daripada kerajaan negeri Johor dan kerajaan pusat berhubung kelewatan melampau projek pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di kawasan Impian Emas, yang didakwa telah tergantung sejak lebih 10 tahun lalu.
Calon PSM bagi kerusi DUN Skudai, Amir Syafiq Ameer Soekre berkata, kegagalan merealisasikan pembinaan sekolah tersebut adalah sesuatu yang memalukan memandangkan beberapa ahli politik sebelum ini pernah menabur janji untuk menyelesaikannya.

"Semasa perbincangan bersama ahli-ahli jawatankuasa terbabit, saya amat terkejut kerana proses pembinaan sekolah tersebut mengambil masa hampir lebih 10 tahun.
"Lebih mengejutkan lagi, terdapat beberapa ahli politik yang berjanji sebelum ini untuk membantu membangunkan sekolah itu, namun tiada sebarang perkembangan.
"Keadaan ini bagi saya amat memalukan apabila mereka ini seolah-olah melepaskan batuk di tangga dalam menyelesaikan perkara ini setelah mendapat kuasa," katanya pada sidang media di Skudai, Johor hari ini.
Mengulas lanjut, Amir Syafiq menjelaskan bahawa isu ini bermula daripada keperluan mendesak masyarakat India di kawasan Kempas yang sehingga kini masih tidak mempunyai sebuah pun SJKT.
Katanya, jawatankuasa penduduk sebelum ini dimaklumkan bahawa tiada tapak yang sesuai di Kempas.
"Susulan itu, kerajaan negeri merancang untuk menempatkan sekolah berkenaan di kawasan Impian Emas yang terletak di bawah DUN Skudai.
"Bagaimanapun, biarpun lokasi telah beralih ke Impian Emas dan jawatankuasa itu telah ditubuhkan selama sedekad, janji tersebut kekal menjadi projek gajah putih tanpa sebarang batu asas yang diletakkan.
"PSM mendesak pihak berkuasa untuk tidak lagi berdiam diri dan memberikan jawapan tuntas kepada penduduk setempat yang telah lama dahagakan akses pendidikan berkualiti.
"Saya berharap pihak kerajaan negeri dan pusat perlu memberikan penerangan kenapa berlakunya perkara yang sedemikian, sedangkan keperluan untuk dibangunkan sebuah sekolah Tamil di Impian Emas adalah amat dimahukan oleh para penduduk dan murid-murid," katanya lagi.
Kempas mempunyai kira-kira lebih 60 penduduk dan daripada jumlah itu lebih 10 peratus terdiri daripada masyarakat India.





