PARLIMEN l Jumlah kes penderaan dan keganasan yang dirujuk ke Pusat Khidmat Krisis Bersepadu (OSCC) menunjukkan trend membimbangkan apabila meningkat kepada 12,906 kes pada 2025 berbanding 9,652 kes pada 2020.
Naib Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Wanita, Kanak-Kanak dan Pembangunan Masyarakat Rodziah Ismail berkata peningkatan ke paras tertinggi dalam tempoh lima tahun itu menunjukkan isu keganasan, penderaan dan perlindungan mangsa bukan lagi masalah terpencil.
Dia berkata ia sebaliknya menjadi isu kesihatan awam, perlindungan sosial serta keselamatan komuniti yang memerlukan tindakan lebih menyeluruh.
“Penderaan fizikal masih merupakan kategori paling dominan, namun peningkatan kes penderaan seksual adalah sangat membimbangkan apabila jumlahnya meningkat daripada 2,699 kes pada 2020 kepada 4,258 kes pada 2025.
“Ini menunjukkan sistem perlindungan, pengesanan awal dan intervensi terhadap mangsa keganasan seksual perlu diperkukuh dengan segera,” katanya pada sesi penerangan penambahbaikan OSCC di Dewan Rakyat hari ini.
Anggota parlimen Ampang itu berkata mangsa wanita terus merekodkan jumlah kes yang jauh lebih tinggi dengan 10,176 kes pada 2025 berbanding 2,730 kes melibatkan lelaki, manakala bagi penderaan seksual, 3,852 mangsa ialah wanita berbanding 406 lelaki.
Rodziah berkata keganasan rumah tangga pula membentuk hampir 60 peratus daripada keseluruhan kes OSCC pada 2025 apabila mencatatkan 7,689 kes, dengan lebih separuh daripadanya melibatkan pasangan suami atau isteri sebagai pelaku.
Dia berkata lawatan JKPK ke tujuh hospital dengan fasiliti OSCC mendapati beberapa kelemahan termasuk kelewatan dan ketidakseragaman respons polis, kesinambungan perlindungan mangsa selepas rawatan hospital khususnya di luar waktu pejabat serta kekurangan Pegawai Pelindung Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di beberapa negeri dan hospital.
Susulan itu, jawatankuasa berkenaan mengemukakan 10 syor utama bagi menambah baik perkhidmatan OSCC termasuk menyediakan peruntukan tahunan khusus untuk operasi dan pembangunan infrastruktur, mewujudkan perjawatan khas berkaitan pengurusan OSCC di kementerian serta agensi berkaitan, selain mempercepat pelaksanaan garis panduan dan sistem data bersepadu OSCC.
Selain itu, JKPK turut mengesyorkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menetapkan prosedur lebih jelas bagi kes rentas daerah dan negeri, mewajibkan kehadiran pegawai polis dalam tempoh masa tertentu selepas laporan dibuat oleh hospital, serta memperkukuh latihan pengendalian kes keganasan seksual, keganasan rumah tangga dan penderaan kanak-kanak.
Rodziah berkata jawatankuasa juga mencadangkan pindaan terhadap Akta Kanak-kanak 2001 bagi membolehkan pewujudan jawatan Pembantu Pelindung yang ditempatkan khusus di hospital yang mempunyai OSCC, di samping menambah bilangan Pegawai Pelindung JKM dan memperkukuh mekanisme pengendalian kes di luar waktu bekerja.
Dia berkata kempen kesedaran awam mengenai keganasan rumah tangga, penderaan seksual, penderaan kanak-kanak serta perkhidmatan OSCC juga perlu dipergiat bagi meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai akses dan fungsi pusat berkenaan.
"Matlamat kita bukan sekadar memastikan mangsa sampai ke hospital, tetapi memastikan mereka keluar daripada kitaran keganasan, memperoleh perlindungan yang bermaruah dan dapat memulakan proses pemulihan dengan selamat," katanya.
Ketika sesi bahas penerangan itu, Teresa Kok (PH-Seputeh) berkata peningkatan kes menunjukkan keperluan terhadap perkhidmatan OSCC kekal tinggi, namun pemantauan kerajaan perlu melangkaui pengumpulan statistik semata-mata, sebaliknya turut menilai keberkesanan intervensi seperti rawatan psikologi, tindakan perlindungan JKM serta kadar kejadian keganasan berulang dalam kalangan mangsa.
Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas) pula mencadangkan kerajaan memperkukuh institusi kekeluargaan melalui pendekatan sepanjang hayat, termasuk memperkenalkan semula modul Lelaki Qawwam (bertanggungjawab).
Dia berkata kerajaan juga perlu memperluas kursus selepas perkahwinan dengan tumpuan kepada kaunseling pasangan muda, kelas pengurusan rumah tangga secara berkala serta sokongan kepada keluarga berisiko tinggi.





