Menteri Besar Perlis Abu Bakar Hamzah meletakkan jawatan sebagai anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu.
Abu Bakar berkata, keputusan itu dibuat atas alasan ingin memberi tumpuan penuh kepada pentadbiran kerajaan negeri.
Katanya, peletakan jawatan itu dibuat secara sukarela tanpa sebarang tekanan daripada mana-mana pihak.
"Beberapa mesyuarat badan pimpinan Bersatu peringkat pusat saya tidak dapat hadirkan diri, jadi atas perkara itu kita lepaskan jawatan kita buat sementara waktu.
"Kita beri komitmen sepenuhnya kepada perkhidmatan kepada Bersatu bahagian Kangar dan juga Perlis.
"Kita tidak ada tekanan, tidak ada permasalahan," katanya kepada media dalam satu program di Perlis hari ini.
Mengulas lanjut mengenai keputusan itu, Abu Bakar berkata dia akan memberi sepenuh tumpuan kepada pentadbiran kerajaan Perlis.
"Saya akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada negeri Perlis dalam usaha kita menarik pelabur," katanya lagi.
Terdahulu timbul spekulasi mengenai peletakan jawatan beberapa pimpinan Bersatu negeri Perlis.
Selain Abu Bakar, turut dilapor meletakkan jawatan, ialah exco kerajaan negeri Perlis, Marzita Mansor.
Peletakan jawatan Marzita yang juga Adun Sena dalam Bersatu turut disahkan Abu Bakar.
Sementara itu ditanya sama ada dia akan menyertai parti lain selepas ini, Abu Bakar menegaskan keputusannya itu tiada kena mengena dengan parti lain.
"Setakat ini tiada kena mengena dengan nak menyertai parti A atau parti B sebab kami masih terikat dalam akta antilompat parti," jelasnya.
Malaysiakini telah menghubungi beberapa pemimpin Bersatu pusat untuk mendapatkan respons.





