Gabungan Kerajaan Perpaduan menghormati suara rakyat dan menerima kekalahan calon PH pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang semalam, kata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
"Selaku perdana menteri, saya dengan penuh tawaduk menerima suara rakyat DUN Sungai Bakap yang berlangsung ketika negara sedang meniti fasa penyesuaian dengan gelombang perubahan yang sedang giat dilaksanakan di bawah hala tuju baharu Kerajaan Madani.
“Kerajaan Madani menginsafi keputusan ini dengan menggilap azam memperhebat usaha membela nasib rakyat dan sekali gus menjayakan agenda mengangkat martabat dan darjat rakyat serta negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Anwar berkata dengan dasar dan komitmen yang jitu, Gabungan Perpaduan akan terus mengukuhkan kesatuan dalam pelaksanaan dasar dan inisiatif bertepatan dengan realiti hari ini dan anjakan baru negara yang sedang berjalan.
Semalam, PN mempertahankan kerusi DUN Sungai Bakap selepas calonnya, Abidin Ismail menang dengan majoriti 4,267 undi apabila menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin.
Analisis sepintas lalu menunjukkan peratusan undi yang dimenangi PN meningkat daripada 52.7 peratus pada pilihan raya negeri tahun lalu kepada 58.6 peratus.
Sebaliknya, undi PH merosot daripada 47.3 peratus kepada 41.4 peratus.
PRK DUN Sungai Bakap diadakan susulan kematian penyandangnya Nor Zamri Latiff yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, pada 24 Mei lepas akibat keradangan dalam perut.





