Seorang juruterbang warga Malaysia ditahan pihak berkuasa Indonesia selepas dipercayai cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis MDMA (ekstasi) bersama sejumlah kecil syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Jakarta.
Artikel Berkaitan: JSJN Tumpaskan 3 Sindiket Vape Dadah Selepas 7 Pelajar Sentul Tidak Sedarkan Diri
Keldai dadah

Memetik laporan Harian Metro, lelaki berusia 39 tahun itu diberkas sejurus tiba dari Kuala Lumpur pada malam Selasa selepas gerak-gerinya menimbulkan syak wasangka pihak kastam.
Menurut pihak berkuasa, suspek ditahan selepas pemeriksaan menggunakan mesin pengimbas sinar-X mengesan imej mencurigakan pada bagasi kru yang dibawanya.
Hasil pemeriksaan lanjut menemukan 14 bungkusan mengandungi 70,114 biji pil ekstasi dengan anggaran berat kira-kira 25 kilogram, selain 2.7 gram dadah jenis syabu.
Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek turut didapati positif methamphetamine (syabu), MDMA (ekstasi) dan kokain.
Siasatan awal mendapati suspek mengaku bertindak sebagai keldai dadah dan dijanjikan upah sekitar RM50,000 bagi membawa bekalan tersebut ke Jakarta sebelum diserahkan kepada anggota sindiket yang menunggunya di negara berkenaan.
Kes kini dalam siasatan lanjut pihak berkuasa Indonesia bagi mengenal pasti rangkaian sindiket yang terlibat dalam kegiatan penyeludupan dadah itu.
Sumber: Harian Metro
The post Juruterbang Malaysia Ditahan Di Indonesia, Dakwa Jadi ‘Keldai’ Seludup 25 Kilogram Dadah first appeared on OHBULAN!.





