Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kapayan, Chin Tek Ming memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang menolak usul persendiriannya berhubung pelaksanaan hak Sabah ke atas 40 peratus hasil Persekutuan.
Chin berkata permohonan itu difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu bagi menyemak keputusan Speaker DUN Sabah bertarikh 29 April lalu.
Dia berkata tindakan undang-undang itu bukan bertujuan mempertikaikan institusi Speaker atau mencampuri urusan DUN, sebaliknya bagi membolehkan mahkamah menentukan sama ada keputusan tersebut dibuat mengikut undang-undang, Peraturan-Peraturan Tetap DUN Sabah dan prinsip keadilan asasi.
"Pagi ini saya telah menyerahkan secara rasmi kepada Speaker DUN Sabah dokumen permohonan semakan kehakiman yang telah difailkan di Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak di Kota Kinabalu.
"Saya tidak meminta mahkamah menentukan jumlah hak 40 peratus Sabah dan juga tidak meminta mahkamah mengarahkan Speaker menerima usul persendirian saya secara automatik.
"Apa yang saya pohon ialah supaya mahkamah menentukan sama ada keputusan tersebut telah dibuat secara sah, adil, rasional dan selaras dengan undang-undang," katanya pada sidang media hari ini.
Menurut Chin, usul persendirian yang dikemukakannya pada 2 April lalu bertujuan mendapatkan pendedahan jumlah hasil Persekutuan yang dikutip daripada Sabah bagi tempoh 2022 hingga 2025, termasuk asas pengiraan hak Sabah di bawah Perkara 112C dan Bahagian IV Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
Usul itu ditolak pada 29 April.
Chin berkata dia tidak terus membawa perkara itu ke mahkamah, sebaliknya menulis kepada Speaker pada 19 Mei bagi mendapatkan penjelasan berhubung alasan penolakan tersebut.
Katanya, dia meminta dijelaskan bahagian usul yang didakwa bercanggah dengan Peraturan Tetap 43(2), asas undang-undang yang digunakan serta penjelasan lanjut mengenai keputusan itu.
"Namun sehingga hari ini saya tidak menerima sebarang jawapan terhadap surat tersebut.
"Maka selepas semua saluran yang munasabah digunakan untuk mendapatkan penjelasan, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan penentuan daripada mahkamah melalui saluran undang-undang yang sah," katanya.
Menurut Chin, tindakan itu bukan sekadar melibatkan kepentingannya sebagai Adun, tetapi juga kepentingan semua ahli dewan kerana setiap wakil rakyat berhak mengetahui bagaimana keputusan terhadap usul mereka dibuat dan bagaimana Peraturan Tetap ditafsirkan.
Chin berkata ketelusan dalam membuat keputusan penting bagi memastikan keyakinan terhadap proses demokrasi dan pelaksanaan fungsi legislatif.
Chin turut menegaskan semakan kehakiman itu tidak seharusnya dilihat sebagai cubaan mewujudkan konflik antara badan kehakiman dan badan legislatif.
Sebaliknya, katanya, mahkamah dan DUN masing-masing mempunyai perananan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan dalam memastikan prinsip kedaulatan undang-undang terus dipelihara.
Katanya, dia akan menghormati apa juga keputusan mahkamah dan berharap semua pihak memberi ruang kepada badan kehakiman menjalankan tugasnya tanpa tekanan atau spekulasi.
Pada masa sama, Chin menegaskan perjuangan mendapatkan hak Sabah akan diteruskan melalui saluran undang-undang.
"Hak Sabah bukanlah suatu pemberian atas dasar ihsan. Hak tersebut adalah hak yang diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan," katanya.





